Belia diajak jadi sukarelawan

Belia diajak jadi sukarelawan

Oleh Anwar Rosly

Gambar oleh MBB Cawangan Belait

 

KUALA BELAIT, 6 Jan – Hasil perbincangan antara badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di daerah ini dengan pihak Jabatan Daerah Belait (JDB), Kumpulan Sukarelawan Daerah Belait telah ditubuhkan kelmarin.

Penubuhannya adalah bersempena menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa dan menyokong program D.O.A (Day Of Action) yang akan berlangsung secara serentak di keempatempat daerah pada 10 Januari akan datang.

Ia ditubuhkan untuk membekalkan belia-belia sebagai sukarelawan dalam projek-projek amal bukan sahaja untuk acara pada Ahad yang akan datang, malah untuk keperluan projek-projek lain juga.

Sehubungan itu, Naib Yang Di-Pertua Majlis Belia Daerah Belait (MBDB), Dr. Haji Azasahibul bin Haji Zainal Abidin dalam temu bual bersama media, hari ini, menyeru belia-belia di daerah ini untuk menyokong kumpulan berkenaan bagi membantu sambil beramal dalam memperbaiki kehidupan masyarakat dengan kerja bergotong-royong.

Kumpulan sukarelawan bagi acara D.O.A akan membersihkan seluruh rumah, termasuk bilik tidur keluarga adik-beradik yatim piatu di Kampung Merangking.
Kumpulan sukarelawan bagi acara D.O.A akan membersihkan seluruh rumah, termasuk bilik tidur keluarga adik-beradik yatim piatu di Kampung Merangking.
Keadaan dapur rumah dimiliki sekeluarga anak yatim piatu di Kampung Merangking, Ulu Belait.
Keadaan dapur rumah dimiliki sekeluarga anak yatim piatu di Kampung Merangking, Ulu Belait.

“Kumpulan Sukarelawan Daerah Belait adalah dibuka kepada orang ramai dan belia berumur 18 tahun ke atas pun boleh menyertainya. Kumpulan Sukarelawan Daerah Belait akan berfungsi di mana penyertaannya akan juga diambil daripada ahli-ahli badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan di daerah ini untuk melakukan sesuatu projek secara bersama di bawah satu entiti,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, bagi acara D.O.A akan datang, kumpulan sukarelawan yang telah dibentuk nanti akan mengunjungi sebuah rumah yang didiami oleh lima orang sekeluarga anak-anak yatim piatu di Kampung Merangking, Ulu Belait, di mana JDB akan menjadi ‘focal point’ serta fasilitator bagi menyediakan keperluan-keperluan yang tertentu untuk membantu memperbaiki rumah usang serta membersihkan kawasan di sekeliling rumah itu.

Menurut Dr .Haji Azasahibul lagi, rumah tersebut dimiliki oleh lima orang adik-beradik dalam lingkungan 15 hingga 23 tahun, dengan adik paling bongsu dan seorang lagi masih di bangku sekolah, manakala abangnya yang tua ketika ini sudah bekerja namun tiada kenderaan, salah seorang daripada mereka belum mempunyai sebarang pekerjaan dan seorang lagi sudah berkahwin.

Bagi mana-mana belia yang ingin turut serta dalam aktiviti kumpulan sukarelawan pada 10 Januari ini boleh menghubungi Dayangku Zafirah binti Pengiran Haji Ali melalui e-mel zafirah.ali@psd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA