Belia didedah kursus jenazah

Belia didedah kursus jenazah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Seramai 75 belia-belia di negara ini yang telah mengikuti Kursus Jenazah bagi Belia-belia Masjid Kawasan Zon II, Daerah Brunei dan Muara yang bermula kelmarin telah menerima sijil mereka hari ini, pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Besar.

Hadir menyempurnakan sijil berkenaan ialah tetamu kehormat selaku Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Kursus dua hari itu bertujuan untuk memberikan pendedahan mengenai penyempurnaan jenazah agar para belia mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang cara-cara dan permasalahan yang berhubung dengan penyempurnaan jenazah dan sekali gus menjadikan mereka berkemahiran dalam pengurusan penyempurnaan jenazah apabila berlaku kematian dalam situasi sebenar.

Ketua Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Aji bin Haji Abd Rahman, selaku pengerusi majlis dalam ucapannya menjelaskan bahawa terdapat tiga sifat yang perlu ada bagi orang yang hendak menguruskan atau menyempurnakan jenazah iaitu sabar, jujur dan juga amanah.

Sifat sabar, jelasnya, ialah dapat mengawal dirinya daripada timbul bersifat kurang senang dan marah terhadap keluarga si mayat terutama sekali jika bertemu sesebuah keluarga yang terlalu bermasalah.

Haji Amir Hisham semasa menyampaikan sijil kepada wakil-wakil masjid belia Kawasan Zon II.
Haji Amir Hisham semasa menyampaikan sijil kepada wakil-wakil masjid belia Kawasan Zon II.
Para peserta kursus mendalami pengetahuan cara-cara menyempurnakan jenazah.
Para peserta kursus mendalami pengetahuan cara-cara menyempurnakan jenazah.

Manakala sifat jujur pula adalah sifat yang penting yang sentiasa dipupuk dalam jiwa penggapai dan membuat sebarang perundingan pelbagai hal berbangkit dan bertolak ansur adalah amat diperlukan dalam menentukan tempat memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dalam keadaan yang bersih dan suci.

Tambah beliau lagi, sifat amanah adalah sifat yang amat penting kerana sifat ini jika dihayati ia mempunyai hikmah serta ada hubungannya dengan manusia yang hidup dan yang mati kerana sifat ini adalah pemegang empat cabang amanah iaitu Amanah Allah S.W.T, Amanah Simayat, Amanah Keluarga dan Amanah Masyarakat.

Pada kursus itu, para peserta yang telah dibimbing oleh para pegawai masjid juga telah didedahkan dengan cara bagaimana memandikan, mengapankan, menyembahyangkan, mengebumikan mayat dan seterusnya praktikal menguruskan jenazah.

Selain itu, kursus itu juga adalah untuk menambah keyakinan serta pengetahuan kepada para peserta kursus khasnya dalam menyempurnakan jenazah dan hukum-hukum yang berhubung dengannya, selain itu juga, ia dapat mengeratkan silaturahim kalangan peserta dan tenaga pengajar dan sekali gus memakmurkan masjid dengan kegiatan yang berkebajikan dan bermanfaat.

Pihak penganjur berharap dengan kursus yang diberikan itu, para peserta akan dapat ikut serta dan tampil ke depan dalam pengurusan jenazah nanti apabila berlakunya sesuatu kematian.

Kursus seumpama ini akan dilaratkan lagi ke daerah lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Turut hadir sama ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Haji Chuchu bin Haji Ibrahim dan Pemudah cara Majlis Fardu Kifayah, Haji Zainal bin Haji Othman.

ARTIKEL YANG SAMA