Belia didedah pengurusan jenazah

Belia didedah pengurusan jenazah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kampung Katimahar hari ini telah mengadakan Bengkel Pengurusan Jenazah bagi belia-belia masjid kawasan Zon 3A.

Sekitar 60 orang belia menyertai bengkel berkenaan yang diuruskan oleh imam masjid, Haji Asmat bin Haji Tuah dan turut dihadiri oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Zon 3A, Haji Abdul Aziz bin Haji Ghani selaku tetamu kehormat.

Menurut kenyataan penganjur, bengkel antara lain bertujuan untuk memberi kefahaman serta ilmu pengetahuan kepada para belia mengenai cara-cara penyempurnaan jenazah di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan belia-belia masjid.

Jurucakap masjid berkenaan, ketika ditemui, menjelaskan bahawa program seperti ini adalah sebahagian daripada pendekatan terbaik kepada golongan belia dalam mendalami ilmu keagamaan yang asas dan diperlukan.

Belia diberi penerangan semasa bengkel pengurusan jenazah.
Belia diberi penerangan semasa bengkel pengurusan jenazah.

Ia juga dihasratkan mendedahkan golongan belia sebagai pelapis pada masa akan datang supaya pengetahuan keagamaan seperti ini akan diteruskan dan dimanfaatkan sebaiknya.