Belia diharap jadi tunjang kepimpinan negara

Belia diharap jadi tunjang kepimpinan negara

Oleh Imelda Groves HA & Yusrin Junaidi

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, dalam tempoh mendatang, para profesional dan eksekutif muda diharapkan untuk menjadi tunjang atau peneraju kepada kepimpinan negara.

Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu dikehendaki untuk memperkaya diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman, titah Baginda pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini semalam.

Titah Baginda, dengan semua elemen ini, akan menjadikan seseorang lebih berupaya untuk menghadapi apa jua cabaran, termasuk cabaran-cabaran ekonomi, sosial dan politik yang serba kompleks.

‘’Dalam kesempatan ini, beta sukacita mengalu-alukan kehadiran para usahawan daripada kalangan belia, yang telah menyahut seruan kerajaan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, sebagai usaha memperkasa ekonomi negara.’’

Walaupun secara relatif, usahawan daripada kalangan belia negara ini jumlahnya masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ini, namun jumlah tersebut dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa, yang mana ini memberikan harapan tinggi, bahawa minat keusahawanan dalam kalangan para belia kita adalah semakin subur dan meningkat, titah Baginda.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah.
Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah.
Tidak melepaskan peluang bergambar bersama Baginda Sultan.
Tidak melepaskan peluang bergambar bersama Baginda Sultan.

pg12_160801_g

pg12_160801_f

‘’Sebagai restu dan sokongan, pihak kerajaan telah pun menyediakan peruntukan, skim dan program galakan yang dikendalikan oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan misalnya, telah menerapkan kurikulum literasi bisnes dan kemahiran keusahawanan dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, termasuk di peringkat teknikal dan vokasional.

‘’Antara pendekatan kerajaan ke arah ini ialah, dengan menubuhkan Darussalam Enterprise (DARe) pada 21 Januari 2016 yang bertanggungjawab untuk mengawasi dan memupuk pertumbuhan serta pembangunan perusahaan-perusahaan tempatan di negara ini. Di samping itu, DARe juga telah menubuhkan ‘Business Support Centre’ untuk membantu melahirkan persekitaran perusahaan yang kondusif dan meningkatkan ekosistem perusahaan secara menyeluruh. Hasil daripada komitmen semua pihak, alhamdulillah, telah mengangkat Negara Brunei Darussalam ke tangga 84 dari 189 ekonomi sebagaimana dalam ‘2016 World’s Bank Ease of Doing Business Report’ berbanding pada tangga 105 pada tahun 2015,’’ titah Baginda.

pg12_160801_b

pg12_160801_e

pg12_160801_c

GAMBAR PALING ATAS HINGGA BAWAH: Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan.
GAMBAR PALING ATAS HINGGA BAWAH: Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain berkenan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Yayasan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah menyeru, supaya semua lapisan belia, sentiasa bersedia untuk memajukan diri masing-masing, kerana mereka adalah generasi penerus yang mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama kerana pada usia muda inilah, waktu yang paling baik untuk mereka menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran sebagai menggalas tanggungjawab di masa hadapan.

‘’Dengan ini, beta ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada para belia, di atas penglibatan mereka dalam semua usaha atau kegiatan yang bermakna untuk negara,’’ titah Baginda lagi.

Terdahulu itu, Baginda bertitah, para belia, khasnya para profesional muda dan usahawan muda (young entrepreneurs) adalah mewakili golongan belia yang terdiri hampir 50 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Dari jumlah tersebut, jika digabungkan dengan semangat dan tenaga mereka, sudah tentu akan memberikan impak yang sangat positif kepada kemajuan ugama, bangsa dan negara.

Tambah Baginda lagi, melalui dasar pendidikan yang ada, kerajaan Baginda telah menyediakan peluang-peluang yang sangat luas bagi semua lapisan rakyat dan penduduk untuk memperolehi pendidikan dan kemahiran tinggi yang diperlukan.

Ini, titah Baginda, telah pun terbukti, dengan ramainya anak-anak tempatan yang memegang jawatan-jawatan utama di dalam pelbagai bidang, seperti bidang pengurusan sumber manusia, kewangan, perubatan, kejuruteraan, pendidikan, guaman, pertahanan, teknologi maklumat dan lain-lain.

ARTIKEL YANG SAMA