Belia dipuji, makin aktif kegiatan berkebajikan

Belia dipuji, makin aktif kegiatan berkebajikan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman hari ini memuji golongan belia masa kini yang semakin aktif dalam perkara-perkara berkebajikan seperti mengikuti aktiviti di masjid-masjid, menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat yang dilanda musibah dan kesusahan.

Malah yang lebih menggembirakan ialah melihat sesetengah belia berminat dalam bidang perniagaan dan perusahaan secara kecil-kecilan yang boleh berkembang di masa hadapan, katanya semasa mengalu-alukan rombongan belia masjid dari keempat-empat daerah yang mengadakan kunjungan hari raya ke kediaman beliau.

Kunjungan tersebut diketuai Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh antara lain bertujuan menyatukan para belia di seluruh negara, merapatkan silaturahim antara satu sama lain serta mencetuskan pemikiran-pemikiran dan aktiviti-aktiviti yang sihat lagi bermakna.

Menurut Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad, kedudukan para belia Islam yang hakiki di sisi Allah SWT adalah sangat tinggi, mereka termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah.

Sungguhpun begitu, katanya, terdapat juga sebilangan kecil belia-belia yang suka melepak, dan ada yang terlibat dengan gejala sosial yang negatif.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ucapan kepada belia-belia.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ucapan kepada belia-belia.

“Meskipun bilangan mereka ini kecil, tetapi ia berpotensi menjadi virus dalam masyarakat jika tidak dikawal. Oleh itu di kesempatan ini saya menyeru kepada para belia masjid agar dapat mendekati mereka itu untuk berjinak-jinak ke masjid kerana saya percaya belia yang rosak dan berpenyakit akan dapat dirawat dan disembuhkan oleh para belia yang baik,” tambah beliau.

Turut hadir di Majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan persembahan tausyeh dari Kumpulan Belia Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan Puisi Islam dengan tajuk “Mahar Cinta Syawal” oleh Bilal Masjid Kampung Puni, Haji Md Syahmi bin Haji Tuah; persembahan tausyeh dengan tajuk “Alhamdulillah” dan “Aidilfitri” oleh Kumpulan Belia Masjid Kampung Sungai Besar dan seterusnya doa selamat.

ARTIKEL YANG SAMA