Belia diseru hindari dadah

Belia diseru hindari dadah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Agama Islam merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia kerana agama Islam mengajak umatnya sentiasa menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi tauladan yang baik kepada orang lain.

Manusia yang baik menurut pandangan Islam adalah orang yang selalu memberi contoh yang baik kepada orang lain dengan menggunakan sepenuhnya potensi yang ada untuk memajukan keluarga, agama, bangsa dan negara.

Manusia ini termasuklah belia yang ditunjangi teras kehidupan nilai islam akan dapat menyelamatkan diri mereka daripada terpesong ke lembah kehinaan dan kemaksiatan.

Perkara ini ditekankan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini, mengatakan tidak dinafikan ada juga segolongan belia yang terpengaruh dengan budaya yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram.

Khatib menegaskan, kita hendaklah meletakkan agama Islam sebagai cara hidup dengan meletakkan akidah sebagai asas kehidupan bagi mendapatkan keredaan di dunia dan akhirat.

Khatib juga menambah, dalam kajian golongan belia yang berumur di antara 30 hingga 34 tahun adalah kelompok tertinggi yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah iaitu seramai 118 orang.

“Manakala belia yang berumur antara 35 hingga 39 tahun pula seramai 92 orang sementara penglibatan belia yang berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun turut membimbangkan iaitu seramai 40 orang,” jelasnya.

Bukan setakat itu, kajian turut mendapati faktor utama yang mendorong belia terlibat dalam penyalahgunaan dadah antaranya berpunca daripada diri sendiri iaitu perasaan ingin tahu atau ingin mencuba.

Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya yang terlibat dengan dadah dan masalah keluarga iaitu kurang perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak.

Di samping itu, terdapat faktor belia yang merokok terlibat dengan dadah di mana setelah biasa dengan dadah nikotin di dalam rokok, bermulalah mereka berjinak-jinak dengan dadah jenis yang lainnya.

“Masalah penyalahgunaan dadah ini jika tidak dibendung dan tanpa kerjasama daripada semua pihak, ia amat membimbangkan dan tidak mustahil penglibatan belia akan semakin meningkat dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Khatib seterusnya mengingatkan penyalahgunaan dadah merupakan musuh negara yang bertindak secara senyap tetapi pengaruhnya mampu melumpuhkan pembangunan masyarakat dan negara.

Perkara ini, turut melanda masyarakat Brunei di mana ia menjadi antara fokus utama negara untuk membendungnya daripada terus meningkat.

Menurut khatib, terdapat beberapa perkara yang boleh mencegah dan mengawal belia daripada terus terjebak dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara mungkar dan yang lainnya.

Ini antaranya, sentiasa mendirikan sembahyang fardu lima waktu bersungguh-sungguh kerana sembahyang itu boleh mencegah daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar manakala kedua, memperbanyakkan membaca Al-Quran.

“Al-Quran merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad S.A.W dan penawar segala penyakit dan ketiga menegakkan Amar Makruf Nahi Mungkar dalam kehidupan dan keempat memperbanyakkan zikir kepada Allah di mana orang yang sentiasa berzikir akan mendapat rahmat dan ketenangan daripada Allah S.W.T,” jelasnya.

Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaraan Dadah Haram ini, marilah sama-sama mengambil berat dan membuat langkah positif dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengdedaran dadah haram ini dengan menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, khatib menyeru untuk terus berusaha menjadi belia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara dengan mengajak semua masyarakat di negara ini berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.