Belia diseru hormati pemimpin

Belia diseru hormati pemimpin

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Unit Belia, Bahagian Imarah, hari ini, telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2016 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.

Turut hadir dalam majlis ramah mesra berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan lebih 100 ahli kumpulan belia masjid seluruh negara.

Dalam majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut berkesempatan untuk memberikan ucapan nasihat, yang antara lain berkata, ahli-ahli kumpulan belia masjid merupakan belia masa depan yang harus dididik agar menjadi belia yang soleh dan berguna untuk negara dan bangsa serta menghormati pemimpin.

Majlis seumpama ini merupakan salah satu usaha pihak jabatan agar para belia masjid mempunyai sifat taat dan hormat kepada pemimpin serta menambah keyakinan para belia masjid untuk bergaul sesama pihak jabatan dan Yang Berhormat Pehin khususnya, sekali gus dapat mengeratkan silaturahim para belia yang datang dari berlainan kawasan.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Acara diteruskan lagi dengan ramah mesra Yang Berhormat Pehin bersama kumpulan-kumpulan belia masjid yang hadir dan diakhiri dengan sembahyang fardu Asar berjemaah di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.

Yang Berhormat Pehin ketika memberikan kata-kata nasihat.
Yang Berhormat Pehin ketika memberikan kata-kata nasihat.

ARTIKEL YANG SAMA