Belia dukung Identiti ASEAN

Belia dukung Identiti ASEAN

VIENTIANE, Republik Demokratik Rakyat Laos, 1 Sept – Belia sebagai pemimpin dan peneraju hala tuju dasar dan destinasi ASEAN pada masa akan datang perlu terlibat dalam mempromosikan Identiti ASEAN.

Perkara ini telah ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa menghadiri Mesyuarat ke-16 Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), di sini, hari ini, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat tersebut.

Semasa menyampaikan ucapan di sesi plenari mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa Majlis Menteri-Menteri ASCC mestilah menyokong dan menggalakkan belia untuk melibatkan diri dalam mana-mana program sektoral kerana penglibatan aktif mereka menyertai pelbagai program dan aktiviti-aktiviti adalah penting dalam memastikan pelan tindakan ASCC terus terlaksana, membantu dalam perlaksanaan ASCC Blueprint 2025 dan kesinambungannya di masa akan datang.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa ASCC juga perlu menyebarluaskan budaya, tradisi dan nilai sosial ASEAN, terutamanya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai mekanisme yang ada.

Peranan penting kebudayaan dalam penubuhan Komuniti ASEAN juga diberikan perhatian. Dalam hal ini, Yang Berhormat Pehin mengalu-alukan usaha-usaha pihak berkepentingan dalam menyumbang ke arah penubuhan identiti ASEAN yang unik.

Mesyuarat ke-16 Majlis ASCC yang diadakan di Dewan Kebudayaan Nasional Laos.
Mesyuarat ke-16 Majlis ASCC yang diadakan di Dewan Kebudayaan Nasional Laos.

Yang Berhormat Pehin juga yakin bahawa usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini akan dapat membina identiti ASEAN yang seragam dan menubuhkan sebuah masyarakat yang prihatin dan saling berkongsi antara satu sama lain.

Ia juga akan dapat mempertingkatkan kesejahteraan kehidupan bermasyarakat termasuk kebajikan mereka.

“Walau bagaimanapun, dalam membina masyarakat ASEAN yang berorientasikan dan mengetengahkan rakyat, cabaran utama adalah untuk memperluaskan dan mendalamkan lagi penghargaan terhadap kepelbagaian budaya kita, bukan hanya sekadar mempamerkan warisan dan kebanggaan negara masing-masing, bahkan berusaha menjadikannya sebagai satu wadah utama ke arah identiti serantau yang asli dan berdaya tahan dengan menerapkan rasa kekitaan di antara rakyat ASEAN.”

Dalam hal ini, Yang Berhormat Pehin menyarankan agar badan-badan sektoral lain di bawah Tunggak ASCC untuk mempunyai semangat yang sejajar, bersepadu dan bekerjasama sebagai satu entiti demi mencapai kejayaan dalam melaksanakan program kerja masing-masing.

Mesyuarat ke-16 Majlis ASCC telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Laos, Thongloun Sisoulith dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Kebudayaan Nasional Laos.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos, Prof Dr. Bosengkham Vongdara.

Ia merupakan mesyuarat yang terakhir bagi Tunggak ASCC yang dipengerusikan Laos sebelum berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan 29 yang akan diadakan di Vientiane pada 6 – 8 September 2016.

Mesyuarat tersebut telah meluluskan beberapa dokumen yang akan dihadapkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan 29 termasuk Vientiane Declaration on Reinforcing Cultural Heritage Cooperation in ASEAN dan Bandar Seri Begawan Declaration on Culture and Arts to Promote ASEAN’s Identity Towards a Dynamic and Harmonious ASEAN Community.

Hadir mengiringi Yang Berhormat Pehin dalam mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Laos, Haji Mohd Na’aim bin Haji Mohd Salleh, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, dan pegawai-pegawai kanan KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA