Belia harus berani ambil risiko

Belia harus berani ambil risiko

Oleh Normazlina M.D & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Untuk menjadi seorang yang berjaya dan cemerlang, jangan takut kepada kegagalan dan cuba berani berdepan dengan risiko serta berfikiran terbuka, dan jangan lupa kongsikan kejayaan bersama orang lain.

Inilah nasihat Awang Goh Kiat Chun atau lebih dikenali sebagai Wu Chun, yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Belia Cemerlang sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Menurutnya, beliau pada masa ini akan lebih melibatkan diri dalam memberikan kesedaran terhadap pentingnya pendidikan sekolah dan akan memberikan inspirasi dan pengalamannya kepada pelajar-pelajar sekolah.

Menyentuh mengenai anugerah yang diterimanya, Wu Chun yang merupakan ikon kepada para belia di negara ini, menyatakan tidak menyangka untuk menerimanya dan menganggapnya satu kejutan serta menjadi motivasi kepada dirinya agar lebih maju dan cuba memberikan usaha yang terbaik kepada masyarakat terutama para belia di negara ini.

Wu Chun merupakan seorang usahawan muda yang berjaya di negara ini, dan banyak menyumbangkan usaha dalam mengharumkan nama negara di dalam dan luar negara.

Penerima Anugerah Belia Cemerlang, Awang Goh Kiat Chun ketika ditemu bual oleh pihak media.
Penerima Anugerah Belia Cemerlang, Awang Goh Kiat Chun ketika ditemu bual oleh pihak media.

Semangat dan komitmen beliau dalam usaha membawa Negara Brunei Darussalam ke luar negara dapat dijadikan motivasi kepada belia-belia di negara ini.

Pada awal penglibatan, beliau bermula di negara luar dalam bidang muzik dan perfileman tetapi telah mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan di negara ini khususnya dalam mempromosi dan memberikan kesedaran terhadap kesihatan dan program masyarakat ke arah cara hidup yang sihat.

Selain itu, beliau juga berjaya memberikan pekerjaan kepada belia-belia tempatan sekali gus menjana ekonomi negara, dan seterusnya mampu menarik pelancong ke negara ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program.

Manakala itu, Persatuan Society of Community Outreach and Training (SCOT) diberikan Anugerah Persatuan Belia kerana persatuan ini sangat aktif dalam menyediakan kegiatan-kegiatan kepada belia dan masyarakat setempat, serta memfokuskan kegiatan yang terarah seperti kemasyarakatan, perekonomian dan kesukarelawan.

Menurut Pemangku Pengerusi SCOT, Awang Khairul Azmi bin Salleh, walaupun persatuan mereka menerima anugerah, ini tidak menghentikan mereka untuk lebih bergiat aktif dan terus menjalankan lagi beberapa projek.

Pemangku Pengerusi SCOT, Awang Khairul Azmi Salleh.
Pemangku Pengerusi SCOT, Awang Khairul Azmi Salleh.

Antara projek yang akan dijalankan ialah ‘Green Xchange Project’ yang bertujuan untuk memupuk sikap mengumpul bahan-bahan terbuang untuk dikitar semula menjadi barang-barang keperluan bagi menjana pendapatan masyarakat yang kurang berkemampuan.

Manakala itu, Projek Pendidikan SCOT berperanan bagi memberikan pendidikan dan keyakinan kepada ahli tentang pentingnya pendidikan Inggeris, ‘Green Xchange H20’ untuk memberi pendedahan dan kesedaran para ahli tentang keindahan laut dan batu karang di Brunei dan Larian SCOT 2015 bagi membasmi kemiskinan melalui Pendidikan.

Awang Khairul Azmi memberitahu, pada masa ini, SCOT mempunyai seramai 50 ahli yang aktif dan mengalu-alukan orang ramai yang berminat menjadi ahli SCOT, untuk hadir ke bangunan persatuan untuk mendaftar dan ikut serta dalam melaksanakan projek-projek tersebut.

Dalam kesempatan itu, Awang Khairul Azmi turut menasihati para belia agar menjadi lebih proaktif dalam menghulurkan sumbangan dengan mengikuti persatuan-persatuan dan pertubuhan yang aktif di negara ini.

Persatuan SCOT telah ditubuhkan pada bulan November 2013 dengan keahlian terdiri daripada golongan belia sendiri.

Persatuan ini sangat aktif dalam kerja-kerja menangani kemiskinan melalui pelbagai pendekatan yang sangat kreatif dan menarik minat para belia terutama dalam bidang pendidikan, pemeliharaan alam sekitar, pengumpulan dana dan pelbagai aktiviti ke arah membantu masyarakat yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA