Belia kita ikuti FEALAC

Belia kita ikuti FEALAC

Oleh Raihan Nokman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Tiga orang belia negara buat pertama kali menghadiri Persidangan Belia Antarabangsa Forum Kerjasama bagi Asia Timur-Amerika Latin (FEALAC) yang diadakan di Bandung, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini yang dihoskan Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) Indonesia.

Mereka merupakan antara 100 peserta lainnya dari 30 negara Asia dan Amerika Latin.

Persidangan merangkumi beberapa siri bengkel, taklimat, lawatan ke lapangan, majlis makan malam dan satu persidangan awam yang juga menampilkan Datuk Bandar Bandung, Ridhwan Kamil sebagai salah seorang penceramah utama. Acara selama empat hari ini diakhiri dengan penerimaan Pengisytiharan Belia Bandung.

Dalam pengisytiharan ini, belia anggota FEALAC berikrar untuk beberapa komitmen bagi memantapkan lagi golongan belia di kedua-dua rantau Asia Timur jauh dan Amerika Latin. Ia juga mengalu-alukan inisiatif Forum Belia FEALAC sebagai persidangan dwi-serantau, sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan khidmat belia, untuk mempromosi dan mengukuhkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan belia di kedua-dua rantau.

Delegasi Brunei menyerahkan cenderahati kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia.
Delegasi Brunei menyerahkan cenderahati kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia.

FEALAC merupakan pertubuhan 36 buah negara dari Asia Timur dan Amerika Latin yang berhimpun kali pertama untuk membentuk saluran dialog rasmi dan tetap antara kedua-dua rantau.

Ia juga secara amnya merangkumi mesyuarat tetap yang diadakan pada tiga peringkat iaitu peringkat menteri-menteri luar, pegawai-pegawai kanan dan pegawai peringkat kerja.

Mesyuarat-mesyuarat kumpulan teras juga diadakan dalam kalangan para penyelaras FEALAC dan negara-negara berminat lainnya untuk memudahkan proses FEALAC.

FEALAC berhasrat untuk mempromosi kerjasama, kefahaman yang lebih baik dan dialog politik dan ekonomi di antara Asia Timur dan Amerika Latin dalam usaha untuk mencapai hubungan lebih efektif, kerjasama dan berhasil di kesemua kawasan.

Buat pertama kali, belia negara-negara anggota FEALAC berkumpul dan memanfaatkan persidangan ini sebagai platform untuk mencipta jaringan dan kerjasama di antara kedua-dua rantau ini.