Belia Korea diraikan dalam majlis resepsi

Belia Korea diraikan dalam majlis resepsi

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Rombongan belia seramai 10 orang dari Republik Korea telah diraikan dalam majlis resepsi bersama Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Majlis yang berlangsung di Dewan Di Gadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan sebagai sebahagian daripada Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea bagi tahun 2016.

Hadir sama pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won Myung; Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Mohd Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad dan para pegawai kanan di KKBS.

Pegawai dari Kementerian Gender, Kesamaan dan Keluarga, Republik Korea, Park Young Jin yang mengetuai rombongan berkenaan memberitahu, semasa program pertukaran ini mereka akan mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat menarik dan bersejarah serta berpeluang melawat kawasan yang mempunyai program belia.

Beliau menyatakan harapan bahawa melalui penyertaan dalam pelbagai program belia ini nanti, mereka bukan sahaja diberikan pendedahan kepada budaya Melayu Islam Beraja dan Negara Brunei Darussalam tetapi juga menyaksikan sendiri program-program serta kemudahan yang disediakan sepanjang berada di  sini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama rombongan belia Republik Korea.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama rombongan belia Republik Korea.

Menurutnya lagi, rombongan belia Korea akan berkongsi pengalaman yang diperoleh dan memberikan cadangan mengenai amalan atau kaedah yang boleh dilaksanakan di Korea untuk meningkatkan lagi mutu program belia negara.

Menurut KKBS, program pertukaran belia itu telah ditandatangani di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara pada tahun 2009 yang antara lain bertujuan untuk membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara.

Program berkenaan juga bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan kedua-dua belah pihak melalui penyertaan belia dalam program berkenaan, dan menerusi usaha ini, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperoleh faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi dan politik.

Rombongan belia berkenaan akan berada di Brunei selama 10 hari dan sepanjang berada di negara ini mereka akan berkesempatan melawat Daerah Belait dan Seria bersama Pegawai Daerah Belait dan Majlis Perundingan Kampung Seria serta ke Daerah Tutong bagi melawat Tasek Merimbun dan bersama Majlis Perundingan Kampung Kiudang dan ke Kampung Kelugos.

Mereka juga akan dibawa melawat ke Pusat Pembangunan Belia, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, menjalankan inap desa bersama keluarga angkat selama dua hari dan berkesempatan menghadiri sesi perkongsian bersama ahli-ahli persatuan belia. Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah menubuhkan hubungan diplomatik pada 1 Jun 1984.

ARTIKEL YANG SAMA