Belia Korea kenali Belait, Tutong

Belia Korea kenali Belait, Tutong

Oleh Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D

 

KUALA BELAIT, 16 Mei – Delegasi seramai 10 orang belia Korea yang berada di negara ini bagi Program Pertukaran Belia di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea, hari ini, telah meneruskan program lawatan mereka ke Daerah Belait dan Daerah Tutong.

Program pada hari ketujuh ini telah dimulakan dengan kunjungan ke Daerah Belait pagi tadi, di mana Jabatan Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Daerah Belait telah mengatur beberapa aktiviti lawatan.

Ini termasuk lawatan ke Taman Persiaran Menara Cendera Kenangan, meninjau pemandangan sekitar Pekan Belait melalui tingkat teratas Bangunan V-Plaza, lawatan ke Kelab Panaga dan melawat Tugu Peringatan Sebilion Tong di mana mereka turut mendengar taklimat mengenai sejarah penemuan minyak di negara ini dan sebagainya yang telah disampaikan oleh wakil daripada Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP).

Dari sana, rombongan telah dibawa melawat ke Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) dan berpeluang mencuba beberapa aktiviti yang disediakan di pusat tersebut.

Lawatan kemudian diteruskan ke Dewan Jabatan Daerah Belait cawangan Seria di mana mereka sahaja berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan oleh ahli-ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung di Mukim Seria, malahan turut mencuba membuat antara kuih-muih tradisi yang ditunjukkan serta mencuba makanan tradisi negara ini seperti Ambuyat dan sebagainya.

Rombongan Belia Korea semasa lawatan ke kawasan Taman Persiaran Menara Cendera Kenangan.
Rombongan Belia Korea semasa lawatan ke kawasan Taman Persiaran Menara Cendera Kenangan.

Rombongan juga tidak ketinggalan berpeluang menyaksikan persembahan silat oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim Seria.

Lawatan di daerah ini telah berakhir di Pusat Insani di mana rombongan telah mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman seterusnya menyaksikan secara dekat kemudahan yang disediakan di pusat tersebut.

Manakala itu, pada sebelah petang pula, lawatan diteruskan di Daerah Tutong di mana mereka mengadakan lawatan ke tempat pemprosesan Teh Herba 3 Majlis Perundingan Kampung (3MPK) Kiudang, Daerah Tutong.

Lawatan diisi dengan penerangan ringkas mengenai perusahaan teh herba 3MPK yang disampaikan oleh ahli MPK Kiudang Tutong, Haji Amran bin Haji Johari yang merupakan pengusaha Teh Herba 3MPK. Delegasi juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi pemprosesan produk Teh Herba 3MPK.

Turut hadir mengalu-alukan kehadiran delegasi ialah Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja dan beberapa orang kakitangan Bahagian Korporat dan ahli Lembaga Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong.

Para belia Korea berkesempatan mendengar taklimat dan demonstrasi pemprosesan produk Teh Herba 3MPK Kiudang, Tutong oleh Haji Amran.
Para belia Korea berkesempatan mendengar taklimat dan demonstrasi pemprosesan produk Teh Herba 3MPK Kiudang, Tutong oleh Haji Amran.

Sebelum itu, delegasi turut mengadakan lawatan ke Tasek Merimbun dan Perusahaan Madu Kelulut di Jalan Bukit Nenas, Kampung Kelugos, Tutong.

Delegasi belia berkenaan akan berada di Brunei sehingga 19 Mei ini, sebagai sebahagian daripada program pertukaran belia berkenaan yang telah ditandatangani di bawah perjanjian persefahaman antara kedua-dua buah negara pada tahun 2009 bagi membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara.

Melalui usaha ini, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperoleh faedah dan manfaat daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi sosial dan politik.

Program ini mula dilaksanakan pada tahun 2011 dan tahun ini merupakan kali keenam ia dianjurkan secara kerjasama Kementerian Gender, Kesamaan dan Keluarga Republik Korea dengan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam.

Ia bertujuan untuk menjalinkan persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia kedua-dua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan malah bahasa.

ARTIKEL YANG SAMA