Belia Laos kagumi Brunei

Belia Laos kagumi Brunei

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Julai – Semata-mata cintanya terhadap Brunei dan ingin meluangkan masa yang lebih lama bersama keluarga angkatnya di sini, seorang belia dari Laos sangup menunda penerbangannya balik ke negara asalnya setelah berada di negara ini selama dua minggu.

Manoat Vandileuam, 26, ketika ditemu bual menjelaskan, beliau berkunjung ke negara ini buat kali ketiga semata-mata untuk menziarahi keluarga angkatnya yang berada di Perpindahan Serasa di mana beliau pernah menjadi anak angkat semasa beliau mengikuti Program Kapal Belia Asia Tenggara-Jepun (SSEAYP) pada tahun 2011.

Selain itu, beliau juga mahu mempelajari dan mengenali lebih dekat adat dan budaya Brunei.

Menurut Manoat, beliau merasa amat bertuah ketika berada di negara ini kerana dapat menikmati dan menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama ahli keluarga angkat dan rakan-rakannya di negara ini.

Dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri, beliau juga berkesempatan beramah mesra bersama Duta Besar Laos ke Negara Brunei Darussalam, Amphay Kindavong dan isteri di rumah keluarga angkatnya di Perpindahan Serasa.

Manoat ingin berada di negara ini kerana meluangkan masa bersama keluarga angkatnya, Haji Awang Buang dan Hajah Amnah.
Manoat ingin berada di negara ini kerana meluangkan masa bersama keluarga angkatnya, Haji Awang Buang dan Hajah Amnah.

Di samping dapat menjalinkan hubungan kekeluargaan bersama keluarga angkat, beliau juga berkesempatan berkunjung ke rumah-rumah rakannya yang juga pernah mewakili Brunei dalam Program Kapal Belia Asia Tenggara-Jepun (SSEAYP).

Selain itu, beliau juga berpeluang menyaksikan peristiwa bersejarah di negara ini apabila Brunei meraikan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Melalui sambutan tersebut, Manoat dapat melihat betapa aman dan makmurnya hidup orang-orang Brunei di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan disambut dengan meriah dan penuh bermakna.

Menurut Manoat, ketika dibawa turun ke Taman menyaksikan lebih dekat acara Perbarisan bersempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan pada Jumaat minggu lalu, beliau merasa kagum dan tidak melepaskan peluang mengambil gambar bersama peserta-peserta yang mengikuti acara perbarisan.

Setelah dua minggu berada di negara ini, Manoat merasa sangat beruntung kerana sejak beliau berada di negara ini, beliau dilayan seperti anak sendiri oleh Haji Awang Buang bin Haji Jamudin dan Hajah Amnah binti Dahlan.

Manoat berkesempatan bergambar dengan jubah graduan di depan Perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Manoat berkesempatan bergambar dengan jubah graduan di depan Perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Disebabkan layanan mereka yang sangat baik, Manoat mengambil keputusan untuk tinggal lebih lama di Brunei.

Walaupun mempunyai budaya dan bahasa yang berbeza, namun keakraban dan silaturahim antara keluarga dan rakan-rakannya di Brunei telah menimbulkan rasa cintanya yang mendalam terhadap Brunei, katanya.

Beliau berharap akan dapat menjalankan perniagaannya atau bekerjasama bersama rakan-rakan dan keluarganya di negara ini.

Beliau yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Ekonomi Dunia di Jilin University, China juga berkesempatan mengambil peluang bergambar bersama jubah graduannya di beberapa tempat menarik di negara ini.

Manoat ingin mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Program SSEAYP yang memberinya peluang untuk mengenali rakan-rakan dan keluarga angkat di negara ini dan juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada keluarga angkatnya kerana menjaganya dan seterusnya mengenali budaya Brunei selamanya berada di sini, serta terima kasih kepada ahli keluarganya di Laos yang menyokong dan memahaminya.

ARTIKEL YANG SAMA