Belia mainkan peranan penting

Belia mainkan peranan penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Golongan belia memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara selaku pemimpin generasi akan datang, oleh itu adalah amat penting bagi meningkatkan lagi semangat kesukarelawanan belia serta semangat gotong-royong atau kerjasama komuniti.

Perkara berkenaan merupakan antara yang dibincangkan dan diketengahkan semasa Sesi Dialog di antara peserta-peserta Program Pertukaran Kepimpinan Belia Singapura-Brunei (SBYLEP 2015) dengan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia, Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu serta Menteri Kanan Negara bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia, Puan Yang Terutama Sim Ann yang berlangsung di Dewan Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh salah seorang peserta belia dari Singapura berkata bahawa budaya gotong-royong atau kemasyarakatan itu wujud dalam semua bangsa tanpa mengira latar belakang dan budaya yang mana generasi muda harus melihat akan perkembangan budaya itu dan dapat membantu di antara satu sama yang lain di dalam sebuah unit keluarga yang rapat dan dalam sebuah komuniti yang hidup penuh harmoni serta mempunyai kesefahaman di antara satu sama yang lain.

Sementara itu, Puan Yang Terutama Grace Fu ketika mengulas mengenai semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan di Singapura, beliau berkata bahawa dalam melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan itu, ia merupakan satu sumbangan individu dari segi masa dan sumber mereka di mana mereka mempunyai ikatan emosi dengan komuniti di mana mereka menaburkan bakti kesukarelawanan itu.

Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan pada sesi dialog itu.
Yang Berhormat Pehin memberikan penerangan pada sesi dialog itu.
Di antara belia-belia Program SBYLEP 2015 yang menghadiri sesi dialog itu.
Di antara belia-belia Program SBYLEP 2015 yang menghadiri sesi dialog itu.

Oleh itu, semangat kesukarelawanan tidak hanya terletak kepada satu pihak sahaja untuk meningkatkannya atau mempromosikannya tetapi memerlukan kerjasama dari semua yang terlibat termasuk ibu bapa, pihak kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan sukarelawan belia.

Manakala itu, Puan Yang Terutama Sim Ann ketika mengulas mengenai program SBYLEP 2015, beliau menyatakan harapan agar para peserta program berkenaan akan memanfaatkan peluang yang diberikan kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi mereka kerana mereka mempunyai visi serta harapan yang serupa.

Beliau berharap melalui perkongsian itu, mereka mampu untuk terus bekerjasama di masa akan datang kerana terdapat peluang-peluang bagi mereka untuk bekerjasama bagi melaksanakan program pembangunan belia.

Program itu disertai oleh seramai 30 orang pemimpin belia iaitu 14 dari Republik Singapura dan 16 dari Negara Brunei Darussalam yang mempunyai latar belakang sebagai profesional dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kepimpinan, keusahawanan, pembangunan masyarakat dan belia, sains dan kesihatan, kesukarelawanan serta juga yang berkaitan dengan hal ehwal kebeliaan.

Program itu diadakan selama tujuh hari bermula kelmarin (5 Oktober) hingga 9 Oktober dan julung-julung kali diadakan di Negara Brunei Darussalam dan ia merupakan kali kedua diadakan setelah yang pertama diadakan di Singapura pada tahun 2014.

Ia bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Brunei dan Singapura dengan mempromosikan kesefahaman dan meningkatkan silaturahim dalam kalangan belia yang merupakan pemimpin generasi akan datang dari kedua-dua buah negara.

Program itu juga merupakan lanjutan daripada lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura pada April 2014.

ARTIKEL YANG SAMA