Belia mampu memperkasa masyarakat

Belia mampu memperkasa masyarakat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Belia Brunei berpotensi tinggi untuk menjadi penggerak masyarakat, ejen perubahan dalam mencapai kecemerlangan dan kejayaan bagi menjadi pemimpin yang efektif pada masa depan.

Oleh itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyambut baik usaha-usaha untuk memperkasakan golongan belia di negara ini dan bagi membentuk golongan belia menjadi generasi yang positif dan dinamik, kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof di Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Bengkel Pengurus Projek Muda (YouPM) yang berlangsung di Galeri ICTC, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Dalam hal itu, ulasnya lagi, kementeriannya ingin melihat lebih ramai belia akan tampil ke hadapan mengikuti dan melaksanakan program pembangunan modal insan.

“Ini adalah penting kerana belia yang lengkap atau syumul mempunyai ketahanan diri yang kukuh dan mantap dengan keimanan yang teguh serta akhlak dan keperibadian yang mulia dan dapat menghadapi hambatan dan cabaran-cabaran globalisasi.

“Oleh itu apa saja yang belia kita majukan haruslah juga selaras dengan falsafah negara kita Melayu Islam Beraja.”

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan ucapannya.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan ucapannya.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa pihaknya amat mengalu-alukan usaha semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi membina kapasiti dan jati diri para belia kita ke arah mewujudkan belia Brunei yang cemerlang selaras dengan matlamat Dasar Belia Negara.

Ini termasuklah mempertingkatkan semangat patriotik, iltizam dan berdaya tahan golongan belia dan juga bagi melahirkan belia yang beriman dan bertakwa. Mudah-mudahan dengan kerjasama semua pihak, belia negara hari ini dan akan datang akan dapat menjadi warga Brunei 2035 yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi; menikmati kehidupan yang berkualiti tinggi; dan ekonomi yang dinamik yang berdaya tahan, seperti yang dihasratkan di dalam Wawasan Brunei 2035.

Mengulas mengenai bengkel YouPM, Yang Berhormat Pehin melihat penglibatan belia-belia dan pemimpin persatuan-persatuan belia dalam projek itu adalah sangat bermakna.

“Belia sebagai pewaris kepimpinan masa depan dan ‘agent of change’ mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memulakan dan menerajui perubahan sosioekonomi negara demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

“Bagi memikul tanggungjawab yang besar ini, belia perlulah mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran, peka dengan perkembangan semasa di samping mempunyai akhlak yang mulia serta semangat jati diri yang kental supaya mampu menjadi pemimpin yang berkesan dan berwibawa dihormati dan digalati.”

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Program YouPM adalah sangat relevan dan tepat pada waktunya di mana projek itu merupakan projek daripada belia untuk belia dan mencerminkan kepimpinan belia yang berwawasan dan harus dicontohi oleh belia lain.

“Ianya menjadi pemangkin kepada membangun dan mencorakkan kepimpinan belia yang lebih profesional, bertanggungjawab dan berkesan, baik bagi peserta belia umumnya dan pemimpin-pemimpin persatuan belia serta juga ahli-ahli belia di peringkat akar umbi, khususnya.”

Program itu juga merupakan landasan atau platform kepada belia untuk meningkatkan kesedaran dan seterusnya mencetuskan idea-idea yang bernas bagi menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negara pada masa kini dalam tiga tema yang di pilih iaitu keusahawanan/pembangunan ekonomi; alam sekitar; dan pembangunan masyarakat.

Yang Berhormat Pehin juga melahirkan harapan agar para peserta bengkel dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang dan pelajaran yang diperoleh dalam bengkel itu terutama dari segi pengurusan dan kepimpinan.

Beliau menerangkan bahawa kedua-dua perkara itu adalah saling berkaitan, berganding dan bersepadu kerana pengurusan yang baik, cekap dan berkesan mencerminkan kualiti kepimpinan.

“Pengurusan dan kepimpinan yang berkesan menjadi pendorong dan peneraju organisasi yang berkesan dan cemerlang. Ia merupakan nadi organisasi dan pendorong kepada anggota-anggota dalam organisasi yang dipimpin dan mengubah mereka ke arah yang lebih baik atau lebih hebat demi mencapai wawasan organisasi masing-masing.”

ARTIKEL YANG SAMA