Belia pencorak masa depan

Belia pencorak masa depan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Belia adalah aset negara yang sangat penting dan berharga yang berperanan besar dalam mencorakkan serta membentuk masyarakat, bangsa dan negara pada masa akan datang.

Belia yang cemerlang ialah impian bangsa dan negara yang akan menjamin keutuhan sebuah masyarakat, bangsa dan negara.

“Cemerlang dalam erti kata memiliki nilai-nilai teras yang mulia dan kualiti diri yang baik serta berpengetahuan dan berkemahiran,” jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, kelmarin.

Golongan belia juga seharusnya memiliki fizikal dan minda yang kuat, cerdas dan rasa ingin tahu yang tinggi di mana dengannya mereka akan lebih berkeyakinan menghadapi pelbagai cabaran dan pengaruh yang mereka lalui atau tempuhi, tambahnya lagi ketika berucap di Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Pehin menekankan peranan penting golongan belia kepada perkembangan dan pembangunan bangsa, agama dan negara.
Yang Berhormat Pehin menekankan peranan penting golongan belia kepada perkembangan dan pembangunan bangsa, agama dan negara.

“Tanpanya, sudah tentu mereka dan negara akan menghadapi masa depan yang suram dan kurang meyakinkan,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa menjadi tanggungjawab semua untuk memandu golongan belia supaya mereka sentiasa berada di atas landasan yang betul, sesuai dengan konsep, hasrat, aspirasi dan wawasan negara.

“Ia perlu digalas sebagai tanggungjawab kolektif di mana semua pihak dan lapisan masyarakat mempunyai peranan masing-masing di dalam sama-sama mendukung hasrat murni untuk melahirkan generasi belia yang boleh diharapkan sebagai pelapis dan penerus kepimpinan dan kejayaan negara pada masa akan datang.”

Beliau turut berkata bahawa golongan belia sebagai sebahagian daripada masyarakat yang berkepentingan hendaklah sentiasa menyedari bahawa kemajuan atau kemunduran sesebuah bangsa dan negara sama ada dari segi fizikal atau rohani banyak bergantung pada sejauh mana tahap kualiti penduduk belianya.

“Golong belia kitani atau belia Brunei sewajarnyalah rasa amat bersyukur dengan persekitaran mereka hari ini dan mengambil peluang-peluang ini dengan langkah pro aktif di dalam mempertingkatkan keupayaan dan keterampilan diri masing-masing.”

Sesebuah bangsa dan negara itu akan lebih membanggakan jika golong belianya mahu mengambil peranan sama ada dari segi sumbangan tenaga mahupun buah fikiran dalam proses pembangunan bangsa dan negara, ulas Yang Berhormat Pehin.

“Selaku generasi yang akan meneruskan kesinambungan kejayaan bangsa dan negara, sayugialah golongan belia merebut peluang-peluang yang ada bagi memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian diri iaitu dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran duniawi dan ukhrawi serta sikap-sikap positif dan yang terpuji dan seawal mungkin menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan bangsa, agama dan negara.”

ARTIKEL YANG SAMA