Belia penjana rantau progresif

Belia penjana rantau progresif

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Pihak-pihak yang berkenaan diseru untuk memikirkan ke hadapan satu program pembangunan kebeliaan serantau yang menekankan kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi yang menjurus kepada kecemerlangan ummah, peradaban dan tamadun serantau.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, bersabda sekiranya golongan belia hari ini memiliki akhlak mulia dan berhemah tinggi dengan berpegang teguh kepada Al-Quran serta diadun dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang tinggi di peringkat serantau, ia akan seterusnya memudah cara keberhasilan bagi menjana rantau yang aman makmur dan progresif yang diberkati Allah SWT.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda demikian di Majlis Perasmian Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara 1436H/2015M di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini, hari ini.

Sabda Duli Yang Teramat Mulia, ASEAN mempunyai penduduk berjumlah 600 juta yang mana sekitar 400 juta atau 65 peratus daripadanya adalah kalangan yang berusia di bawah 35 tahun.

“Justeru, golongan belia dan remaja memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju pembangunan dan perkembangan masa depan negara dan serantau.

Duli Pengiran Muda Mahkota dijunjung berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara, malam tadi.
Duli Pengiran Muda Mahkota dijunjung berangkat ke Majlis Perasmian Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara, malam tadi.

“Kerana itu, para pemimpin ASEAN memberikan keutamaan kepada pembangunan belia serantau di dalam gagasan dan kerangka-kerja Komuniti Sosiobudaya dan Sosioekonomi ASEAN.”

Penglibatan golongan belia dalam proses pembangunan Komuniti ASEAN, sabda Duli Yang Teramat Mulia adalah sangat penting khususnya dalam bersama-sama menangani cabaran sejagat termasuk ‘youth employment’.

“Ke arah itu, berbagai-bagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan menerusi dasar yang disepakati, termasuk meningkatkan lagi kesalinghubungan rangkaian perhubungan di kalangan para belia bagi memudah cara perkongsian kepakaran belia serantau.

“Saya percaya perkongsian tersebut pula dapat mencetus satu sinergi yang boleh memacu pembangunan sosioekonomi negara dan serantau dengan kadar yang lebih cepat,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai musabaqah belia Asia Tenggara yang diadakan buat kali ke-7 itu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda, ia bukan hanya sekadar melahirkan kumpulan belia serantau yang berjaya mempertingkatkan mutu tilawah dan penghayatan isi kandungan Al-Quran yang agung, lebih penting lagi, ia merupakan platform keemasan bagi para belia meraih sebanyak boleh keberkatan Al-Quran itu sendiri.

“Al-Quran adalah nyata kitab suci dan sumber pedoman serta pegangan kehidupan yang syumul bagi seluruh umat manusia di sepanjang zaman. Keberkatan di sini termasuklah kesepaduan dan kejayaan hakiki kepada para belia Islam serantau,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

ARTIKEL YANG SAMA