Belia perlu bina jati diri, akhlak mulia

Belia perlu bina jati diri, akhlak mulia

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 28 Ogos – Belia merupakan golongan yang mempunyai ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental sekali gus mempunyai pengaruh besar ke atas landskap sesebuah negara.

Namun tidak dinafikan belia mudah terdedah kepada cabaran-cabaran sosial hari ini seperti penyalahgunaan dadah, menyalahgunakan media sosial, pergaulan bebas dan banyak lagi.

Oleh itu, semua pihak adalah berperanan untuk membimbing dan memimpin golongan belia secara berhikmah agar mereka menjadi golongan yang berakhlak mulia, taat dan hormat kepada ibu bapa dan orang tua.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai pentingnya membimbing golongan belia menjelang sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10, yang bertemakan ‘Belia Berwawasan Menjana Ekonomi’.

Menurut Khatib, belia berwawasan menjana ekonomi merupakan satu visi negara di dalam melahirkan belia-belia yang mempunyai pandangan hidup yang luas lagi jauh, mempunyai wawasan serta gagasan hidup yang ke hadapan dalam mendukung hasrat kerajaan dan negara, sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan yang positif terutama di dalam ekonomi.

Khatib turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada istiadat mengadap dan mengurniakan bintang-bintang kebesaran negara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69, yang menyeru rakyat di negara ini segera melakukan penghijrahan minda, dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh kepada rajin bekerja, dan dari banyak bergantung harap kepada lebih membanyakkan usaha, dan dari kurang berdikari kepada lebih berdikari, kerana inilah sumber kekuatan para belia.

Baginda juga menekankan ketika menghadapi cabaran ekonomi masa kini, semua pihak diperlukan untuk meningkatkan iltizam membangun dan membina diri agar dapat mengekalkan daya tahan bagi jangka masa yang panjang.

Menurut khatib lagi, langkah mempelbagaikan ekonomi juga mestilah diteruskan tanpa mengabaikan sumber yang sedia ada. Ini namanya proses ‘peningkatan’ di mana semua pihak perlu terlibat.

Penglibatan belia di dalam bidang ekonomi bukanlah merupakan satu hala yang baru.

Perkembangan bidang ICT telah memberi banyak peluang serta membuka banyak ruang kepada para belia menceburkan diri ke dalam bidang perekonomian.

Belia-belia kini mula berani melangkah ke dunia perniagaan dengan menjadikan media sosial sebagai platform utama mereka membuat promosi.

Ini sesuai dengan perumpamaan orang-orang lama iaitu bekarih, bejarih, belurih.

Semangat ini perlu diisi ke dalam hati para belia agar menjadi belia yang aktif di dalam apa jua bidang dan sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang melanda.

Para belia merupakan jaminan utama dalam pembentukan masa depan negara. Generasi seperti inilah yang sangat diperlukan oleh negara.

“ … Demikian marilah kita sama-sama merealisasikan titah Baginda itu dengan berusaha lebih bersungguh-sungguh rajin bekerja serta meningkatkan iltizam membangun dan membina diri demi kesejahteraan hidup kita semua,” seru Khatib lagi.

Sesungguhnya Islam amat menitikberatkan tentang masa dan usia, dan dua perkara ini saling berkait rapat dan sangat penting dalam kehidupan sebagai seorang Islam. Oleh itu diingatkan kepada para belia agar menghargai dan menggunakan usia dan masa mereka dengan sebaik-baiknya kerana pada masa usia inilah masa yang terbaik untuk membina jati diri dan menghias peribadi dengan akhlak yang mulia.

ARTIKEL YANG SAMA