Belia perlu lebih berani

Belia perlu lebih berani

Oleh Mohamad Asyramisyanie dan Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Belia perlu berani dan terus giat untuk menyertai kegiatan yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan dan kelab sukan yang terdapat di negara ini sebagai pelapis acara kesukanan pada masa hadapan.

Ini adalah kerana belia dan generasi muda berperanan dalam membangunkan dan mempertingkatkan lagi pelbagai acara bukan sahaja terhad kepada acara sukan seperti sukan kanu namun pada semua aktiviti lain yang boleh menambahkan ilmu dan kemahiran sebagai bekalan hidup yang berguna.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengurus Kelab Kanu Pusat Belia, Awang Aznin bin Haji Tahir ketika ditemui dalam Program Pengenalan Kayak anjuran Kelab Kanu Pusat Belia Bandar Seri Begawan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, orang Brunei seperti juga di negara lain pernah menempa sejarah dalam acara sukan dan pertandingan lain yang antaranya membuktikan orang kita sangat berpotensi, bersemangat juang tinggi dan berdaya saing.

“Tanggapan bahawa kualiti orang kita dalam acara dan kejohanan yang dianjurkan di peringkat antarabangsa semakin merudum perlu dikikis kerana saya percaya persaingan yang ada masa kini bukan seperti dahulu kerana seperti di negara jiran juga, kita sendiri melihat perkembangan dalam acara sukan dan yang lain juga progresif,” ujarnya.

Awang Aznin ketika ditemui baru-baru ini.
Awang Aznin ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas mengenai pemangkin kepada belia dan generasi muda katanya imbalan dan insentif merupakan salah satu faktor yang perlu diberikan perhatian dan mengharapkan supaya pihak berkenaan akan melihat perkara itu sebagai salah satu aspek yang berkepentingan.

“Saya percaya dengan adanya insentif itu, ia akan lebih menyuntik semangat dan ketekunan pada belia untuk menggiatkan diri dan keterlibatan mereka untuk terus berkecimpung dalam acara sukan dan yang berkebajikan di negara ini,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai Kelab Kanu Pusat belia, katanya ia telah ditubuhkan pada tahun 2004 dan direhatkan pada 2010 ekoran tiada pegawai mentadbir dan bersyukur tahun ini (2016) mula dihidupkan semula.

Awang Aznin menjelaskan bahawa dengan bergiat semula kelab berkenaan, beliau dan warga pentadbiran berhasrat untuk mendedahkan para ahli dengan simulasi perlawanan sebenar di laut dan sungai sebagai pendedahan kepada suasana sukan kanu yang sebenar.

Bercakap mengenai keahlian pula, ahli yang lama kini sudah banyak yang berusia namun sambutan sentiasa diberikan oleh generasi baru untuk terus berkecimpung dengan acara sukan air yang sememangnya masih baru di negara ini.

Katanya lagi, beliau sangat berbesar hati dengan program pertama anjuran kelab berkenaan dengan penglibatan fasilitator yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang juga merupakan Ahli Kesatuan Kayak British untuk tampil berkongsi pengalaman secara percuma kepada belia dan ahli kelab.

Mengulas mengenai perancangan kelab, kelab akan bekerjasama dengan pihak Persatuan Kayak Kebangsaan bagi tujuan saluran ahli sukan dan sebagai usaha mendapatkan lebih banyak pengayuh untuk disalurkan kepada pihak persatuan dalam kategori beginner, novice dan elite.

Apabila ditanya mengenai Regata yang bakal diadakan sedikit masa lagi, menurutnya belum ada perancangan penyertaan daripada pihak kelab namun jika diberikan peluang pasti mereka akan menghantar perwakilan untuk menyemarakkan lagi acara kebangsaan itu.

“Sememangnya hasrat itu sudah difikirkan namun untuk terjun secara mendadak adalah mustahil kerana penyertaan ke peringkat itu memerlukan keperluan asas dan pastinya memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” beliau menjelaskan.