Belia perlu miliki pelbagai kepakaran

Belia perlu miliki pelbagai kepakaran

KOTA KINABALU, 15 Nov – Golongan belia Sabah perlu dipastikan memiliki kepelbagaian kepakaran dan kemahiran sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan masa kini, selaras dengan sektor teras dalam Dasar Hala tuju Pembangunan dan Kemajuan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kerajaan negeri amat memerlukan golongan belia yang memiliki ilmu pengetahuan serta kemahiran sebagai memacu kepesatan pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi.

Sehubungan itu, katanya Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) perlu terus memartabatkan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran dalam kursus ditawarkan kepada golongan belia.

“Saya percaya dengan kepesatan pembangunan negeri dan pelaksanaan pelbagai program dan agenda pembangunan kerajaan, ia berupaya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran untuk belia di Sabah,” katanya pada perasmian majlis konvokesyen kali ke-22 KTYS, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga Exco Pendidikan negeri. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah KKYS Sdn Bhd Datuk Kamal D.E. Quadra.

Musa berkata perkembangan KTYS sejak ditubuhkan 26 tahun lalu telah membuktikan komitmen dan iltizam kolej itu dalam mencapai matlamat untuk memenuhi keperluan sumber manusia dan modal insan seiring kepesatan pembangunan negeri dan matlamat wawasan negara.

Pada majlis itu, seramai 380 graduan menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Masidi.

Sementara itu, Masidi mengingatkan semua belia supaya jangan merasa malu untuk mengambil kursus kemahiran dan teknikal walaupun hanya sekadar mendapat sijil dan diploma.

Ini kerana, katanya, golongan belia yang memiliki kemahiran tinggi mempunyai peluang besar untuk diterima dalam pasaran kerja selain mereka boleh menjana sumber pendapatan sendiri. – Bernama