Belia perlu teguh jati diri

Belia perlu teguh jati diri

Oleh Sim Y. H, Salawati Haji Yahya & Normazlina MD

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Golongan belia diseru agar memiliki jati diri yang asli serta tidak meniru daripada orang lain terutama jika yang ditiru itu adalah bertentangan dengan budaya dan adat sopan baik kita.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam membuat seruan itu dalam titah Baginda pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

“Menyebut belia ejen masyarakat, adalah penting bagi mereka itu, untuk memiliki jati diri dan sikap yang mantap. Kerana tanpa jati diri dan sikap yang mantap, seseorang belia itu tidak akan dipandang hebat.

“Maksud Beta dengan jati diri di sini, ialah yang original, yang asli, yang bukan disalin atau ditiru daripada orang lain, lebih-lebih lagi kalau yang ditiru itu bertentangan dengan budaya dan adat sopan kita yang baik.

“Salah satu contoh budaya dan jati diri yang baik orang-orang Brunei ialah suka memakai songkok.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10, kelmarin. - Gambar Muiz Matdani
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-10, kelmarin. – Gambar Muiz Matdani
Baginda Sultan bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar kenangan sempena Hari Belia Kebangsaan 2015.
Baginda Sultan bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan bergambar kenangan sempena Hari Belia Kebangsaan 2015.

“Sehingga dalam banyak keadaan, mereka itu dapat dilihat memakainya, terutama sekali ketika sembahyang dan membaca Al-Quran.

“Ia sangat sopan dan cantik dipandang mata, dan bahkan, ia juga menjanjikan pahala kepada kita. Kerana bukankah menutup kepala itu salah satu daripada sunah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam?”

Namun begitu, Baginda bertitah, agak malang, di era mutakhir ini, orang sembahyang dan membaca Al-Quran pun sudah ada yang tidak memakai songkok.”

“Ini bukan budaya dan jati diri kita tetapi satu budaya baru yang didapat dari luar termasuk yang ditiru dari media.”

Baginda turut berpesan kepada golongan belia, jika hendak meniru, biarlah yang baik dan bukannya meniru perkara yang tidak baik atau yang merugikan.

Baginda bertitah lagi, “Ini adalah antara cabaran yang sedang menunggu para belia kita, di mana mereka itu sangat penting untuk mengelakkan diri daripada terjebak atau terperangkap oleh aliran-aliran budaya baru yang tidak menentu.

“Sebaliknya para belia, dikehendaki supaya proaktif dalam memupuk dan memelihara budaya warisan, bukannya membiarkan budaya itu hakis atau mati.

“Misalnya, budaya dan seni mempertahankan diri, yang kita warisi semenjak sekian lama itu, adakah kita sudah berpuas hati dengannya, ataupun kita sedang cemas, kerana mendapatinya sedang diancam oleh perubahan atau pembaharuan yang menjejaskan?”

Antara peserta belia yang turut serta semasa sambutan tersebut.
Antara peserta belia yang turut serta semasa sambutan tersebut.

Baginda bertitah, “Kita bukanlah anti-perubahan atau pembaharuan itu, tetapi biarlah perubahan atau pembaharuan tersebut jangan sampai mengurangkan mutu dan sekali gus melunturkan ‘ketulenan’ warisan.

“Kita sepatutnya mempertahankan warisan dan memberinya nafas yang baru, bukan menyebabkannya ia layu dan lumpuh. Inilah tugas para belia bangsa.”

Baginda juga bertitah amat teruja dengan bertambahnya bilangan profesional, usahawan, karyawan dan tenaga mahir dalam kalangan para belia kita.

“Kita juga berbangga dapat menyaksikan belia-belia itu sudah mula menceburkan diri di bidang-bidang yang kurang diminati seperti bidang bertanam padi dan membuat kerja-kerja lasak seperti memandu kenderaan berat dan scaffolding.

“Demikian juga, golongan belia telah mula terlibat menerokai bidang-bidang baru seperti bidang industri kreatif dan juga tidak ketinggalan untuk menceburi pasaran luar negara.”

Titah Baginda lagi, kaum belia juga didapati aktif melakukan kerja-kerja amal atau sukarela dan ini, bukan sahaja dilakukan di dalam negara malahan juga di luar negara, yang mana semua itu amatlah membanggakan.

“Kaum belia memang digalakkan untuk melakukan apa jua perkara yang bermanfaat terutama untuk meneroka bidang-bidang baru atau sanggup membuat kerja-kerja lasak, seperti turun ke sawah di bawah panas matahari dan lain-lain. Ini semua sangatlah berguna kepada belia selaku ejen masyarakat.”

ARTIKEL YANG SAMA