Belia PPB, PKBN tamat kursus keusahawanan

Belia PPB, PKBN tamat kursus keusahawanan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Tidak dapat dinafikan bahawa bidang keusahawanan merupakan salah satu bidang kerjaya yang diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan dalam membangun generasi muda yang mampu berdikari serta bersemangat kental untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya mereka.

Bidang kerjaya keusahawanan juga semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan belia dengan lebih ramai belia cenderung serta berminat untuk menyertai program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan bukan sahaja oleh badan-badan kerajaan tetapi juga pihak swasta termasuk program-program pembangunan yang diusahakan oleh LiveWIRE Brunei.

Sehubungan itu, seramai 29 orang belia yang terdiri daripada peserta dari Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) berjaya untuk menamatkan Bengkel Idea Bernas secara berasingan yang dikendalikan oleh LiveWIRE Brunei, di Pejabat LiveWIRE Brunei, Berakas, baru-baru ini.

Bagi peserta dari PPB, mereka menghadiri sesi bengkel yang diadakan pada 28 dan 29 September manakala bagi peserta dari Alumni PKBN mereka menghadiri sesi bengkel yang diadakan pada 14 dan 15 September. Bengkel dua hari itu merupakan bengkel pengenalan keusahawanan yang dikendalikan oleh LiveWIRE Brunei bagi meningkatkan dan memberikan pendedahan asas kepada para peserta yang berminat untuk menerokai dunia keusahawanan dan membuka perusahaan mereka sendiri.

Para peserta bengkel memberikan tumpuan kepada pelbagai sesi perbincangan dan penerangan yang dijalankan sepanjang bengkel dua hari itu.
Para peserta bengkel memberikan tumpuan kepada pelbagai sesi perbincangan dan penerangan yang dijalankan sepanjang bengkel dua hari itu.

Menurut Kaunselor Perniagaan LiveWIRE Brunei dan pemudahcara bengkel berkenaan, Awang Mohd Fadhilullad Tudun bin Haji Hassan, bengkel berkenaan memberikan peluang kepada para peserta untuk mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai pemikiran yang diperlukan untuk berjaya, mencari idea perniagaan yang bernas, membuat perancangan mengenai kos memulakan perniagaan, prosedur perundangan bagi memulakan perniagaan di Brunei serta pengurusan kewangan.

Semasa bengkel itu, para peserta diberikan tunjuk ajar mengenai perkara yang perlu mereka buat untuk memulakan perniagaan dan juga pejabat yang perlu mereka pergi untuk membuat permohonan bagi mendaftar nama perniagaan serta mendapatkan lesen perniagaan mereka.

Mereka juga belajar mengenai asas pengurusan kewangan di mana mereka berpeluang untuk menggunakan ilmu pengetahuan itu bagi mengurus kewangan perniagaan dan juga persendirian mereka.

LiveWIRE Brunei juga menganjurkan beberapa program keusahawanan yang lain termasuk program dan bengkel selama empat hari iaitu Menjadi Seorang Pemilik dan Pengurus Perniagaan Berjaya, yang merupakan program lanjutan bagi bengkel idea bernas dan mengetengahkan penceramah undangan yang terdiri daripada pengurus-pengurus, pengusaha, ahli-ahli perbankan dan pegawai-pegawai kerajaan yang mengongsikan pengalaman serta ilmu pengetahuan mereka dalam memulakan dan menjalankan perniagaan di Brunei pada 17 hingga 20 Oktober nanti.

ARTIKEL YANG SAMA