Belia sambut baik titah Baginda

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-34 tahun semalam, menunjukkan rasa keprihatinan Baginda terhadap masa depan negara dengan menggalakkan para belia pada masa ini untuk memegang tanggungjawab yang lebih besar dan mengambil peluang-peluang yang ada sama ada arena tempatan ataupun antarabangsa.

Oleh itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari berkata, belia haruslah proaktif dalam mencari peluang-peluang tersebut dan pada masa yang sama juga masyarakat perlu menerima yang idea-idea yang bagus dan juga pelaksanaannya datang dari mana-mana.

Umur bukannya fakta jadi berilah galakan kepada anak-anak muda di masyarakat sendiri untuk menyumbang kepada pembangunan negara, tegas Yang Berhormat yang pernah menerima Anugerah Khidmat Belia 2013, Anugerah Belia ASEAN 2014, Queen’s Young Leaders Award 2015 dan Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) 2016 ketika ditemu bual Media Permata mengenai titah Baginda.

Beliau yang juga selaku Pengasas bersama dan Pengarah Penglibatan Komuniti Green Brunei turut melahirkan keyakinan bahawa para belia Brunei mempunyai banyak potensi untuk menerokai idea-idea baru. Oleh itu, mereka disarankan untuk beranikanlah diri untuk mengambil peluang-peluang yang ada.

Manakala itu, Pengasas Battle Pro Event, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah yang juga selaku pengerusi kempen pemasaran AkuManang.com berkata, titah Baginda menunjukkan bahawa belia di negara ini mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sangat besar untuk dipikul bersama-sama dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyeru para belia untuk proaktif dalam mencari peluang-peluang tersebut dan pada masa yang sama juga masyarakat perlu menerima yang idea-idea yang bagus dan juga pelaksanaannya datang dari mana-mana.
Haji Syed Mohd Yassin mengambil inisiatif sendiri untuk menuntut ilmu keusahawanan seperti ilmu pemasaran yang sangat terbukti berjaya yang ditawarkan di negara luar.

“Alhamdulillah titah Baginda Sultan tersebut juga boleh ditakrifkan sebagai peluang untuk kita, para belia rebut. Baginda sendiri menyeru para belia untuk tampil menerajui pembangunan. Ini termasuklah sama ada dari sektor pendidikan, pembangunan dan ekonomi,” jelasnya lagi.

Dalam menyahut titah Baginda untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri, Haji Syed Mohd Yassin dan beberapa usahawan tempatan telah pun mengambil inisiatif sendiri untuk menuntut ilmu keusahawanan seperti ilmu pemasaran yang sangat terbukti berjaya yang ditawarkan di negara luar.

“Insya-Allah, Battle Pro Event akan terus bersama-sama pihak kerajaan memantapkan bidang keusahawanan dengan menyediakan platform-platform pemasaran termasuk acara-acara untuk usahawan-usahawan, khususnya usahawan belia dan usahawan tempatan dalam menuju ekonomi yang mapan menjelang tahun 2035,” tambah beliau.

Pengarah filem tempatan yang aktif menerbitkan filemnya di luar negara, Awang Abdul Zainidi ketika ditemu bual menerusi online pula berkata, para belia seharuslah mengambil peluang baik terutama beberapa program yang dibukakan untuk para belia sama ada di luar negara dan dalam negeri.

Menurut beliau, titah Baginda sememangnya memberikan nafas baru dan semangat kepada para belia untuk menampilkan bakat-bakat mereka, sebagaimana beliau tidak berputus asa mengikuti beberapa festival filem di luar negara.

Sebagai seorang pengarah filem yang termasuk dalam ‘generasi muda berani tampil’, beliau sangat bersyukur kerana dapat mewakili Brunei di luar negara, yang mana pada masa ini beliau berada di Perancis bagi menghasilkan filem dan mempelajarinya dengan lebih mendalam.

Selaku wakil belia Brunei yang berada di Perancis, beliau mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kepada keluarga beliau yang berada di Tutong dan Tanjong Nangka serta kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan perfilemannya.