Belia sumbang keperluan kepada PKWE

Belia sumbang keperluan kepada PKWE

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Lima orang pelajar daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menjalani Program Khidmat Masyarakat di bawah Majlis Belia Brunei semalam menderma barangan keperluan rumah kepada Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di Lambak Kanan.

Barangan tersebut dibeli menggunakan wang yang dikumpulkan daripada penjualan gelang rantai yang dibuat oleh pelajar dari Sekolah Menengah Chung Ching (CCMS), Seria.

Matlamat projek berkenaan adalah mengumpul wang untuk membeli barangan rumah untuk mempertingkat kemudahan di PKWE.

Sebanyak 200 gelang rantai dihasilkan oleh pelajar CCMS dengan bimbingan daripada pelajar UBD, yang seterusnya dijual kepada orang ramai. Aktiviti membuat gelang rantai bukan sahaja mengajar belia sesuatu yang baru tetapi ia juga merupakan satu peluang untuk mereka menyumbang kepada masyarakat.

Belia terlibat menyerahkan sumbangan kepada Haji Muhammad Hussin.
Belia terlibat menyerahkan sumbangan kepada Haji Muhammad Hussin.
Para belia mengajar pelajar cara membuat gelang rantai yang kemudiannya dijual.
Para belia mengajar pelajar cara membuat gelang rantai yang kemudiannya dijual.

Hasil daripada jualan digunakan untuk membeli pelbagai barangan rumah termasuk periuk memasak, rak kasut, penyapu dan lain-lain lagi.

Hadir menerima barangan sumbangan ialah Pengurus PKWE, Haji Muhammad Hussin bin Haji A Yusof, dan ahli pusat itu.

Majlis Belia Brunei ditubuhkan pada 1962 dan ia adalah pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan yang bukan mengaut untung. Ia menyediakan belia dengan peluang membina kapasiti menerusi program latihan amalinya, yang mendedahkan mereka kepada pelbagai kemahiran termasuk perancang produk dan kerja komuniti.

ARTIKEL YANG SAMA