Belia sungkai bersama menteri

Belia sungkai bersama menteri

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Dalam usaha meningkatkan hubungan belia dan pemimpin, sekitar 200 orang belia terdiri daripada ahli-ahli persatuan kebangsaan, persatuan belia, alumni program antarabangsa, sukarelawan dan belia-belia masjid hari ini menghadiri majlis sungkai bersama menteri.

Majlis Bersungkai Bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof itu berlangsung di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi hadir selaku tetamu kehormat.

Sebelum sungkai, majlis diserikan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pemenang tempat ketiga qari Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan 1437H/2016M, Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid, diikuti dengan ceramah khas yang bertajuk ‘Anilah Pemimpin?’ disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara dari Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

Majlis disusuli dengan tahlil dan doa arwah yang dikepalai oleh imam Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, diikuti dengan majlis bersungkai dan sembahyang fardu Mahgrib berjemaah.

Penganjuran majlis seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan dan dapat menjadikan mereka belia yang beriman dan bertakwa dan dapat menggunakan keupayaan dan potensi yang ada pada mereka untuk membangun intelektual, sahsiah, rohani dan jasmani dalam menghadapi cabaran-cabaran.

ARTIKEL YANG SAMA