BellaMove Gym khas untuk wanita

BellaMove Gym khas untuk wanita

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Dis – Bagi wanita yang aktif bersenam tetapi berasa sukar mencari tempat yang sesuai, sebuah pusat kecergasan khas untuk kaum hawa sahaja, dinamakan BellaMove Gym, telah dibuka di Wisma Yakin, Jalan Pandan 5, Kampung Pandan, di sini.

Pusat kecergasan berkenaan telah dilancarkan kelmarin, oleh pengasas-pengasas bersama, Dayang Siti Fatimah Masayu binti Mohd Suria, Dayangku Lailatol Qadrina binti Pengiran Damit dan Dayang Nurul Ehsan binti Yahya.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Dayangku Lailatol memberitahu, Bella-Move Gym dibuka khas untuk menyediakan tempat bagi kaum wanita bersenam tanpa ada kehadiran lelaki.

“Bermulanya ilham untuk membuka gim ini adalah atas dasar keperluan sendiri yang ingin melakukan senaman dengan selesa tanpa perlu khuatir.

Dayang Siti Fatimah Masayu, Dayangku Lailatol Qadrina dan Dayang Nurul Ehsan bergambar bersama semasa perasmian BellaMove Gym kelmarin.
Dayang Siti Fatimah Masayu, Dayangku Lailatol Qadrina dan Dayang Nurul Ehsan bergambar bersama semasa perasmian BellaMove Gym kelmarin.

“Alhamdulillah, BellaMove Gym mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sewaktu sesi pembukaan dan di luar jangkaan dengan kehadiran lebih daripada 40 orang bagi menghadiri dua sesi senaman berasingan iaitu zumba yang dikendalikan oleh ZIN Jane dan Piloxing oleh PIA Gjah,” ujarnya.

Beliau menambah, pusat kecergasan ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam pada setiap Isnin hingga Ahad dan lokasinya adalah strategik di mana orang ramai tidak akan dapat melihat masuk untuk menjenguk atau melihat aktiviti senaman yang dilakukan oleh pengunjung.

“Pengunjung-pengunjung di sini boleh menikmati privacy,” kata Dayangku Lailatol.

Menjelas lanjut mengenai kemudahan yang terdapat di sana, beliau berkata gim berkenaan mempunyai pelbagai alat senaman seperti mesin senaman kardio, angkat berat dan sebagainya.

“Selain itu, gim ini juga mempunyai sesi aerobik (kelas senaman) seperti aerodance dan zumba yang dikendalikan oleh beberapa pengajar tempatan terlatih pada setiap hari bermula jam 5 petang hingga 6 petang,” tambahnya.

Katanya lagi, pusat kecergasan itu juga menyediakan beberapa kemudahan lain seperti lokar (almari kecil berkunci), tandas, bilik mandi dan bilik solat bagi kaum wanita yang berkerjaya atau pelajar dan ingin melakukan senaman sebaik sahaja habis waktu bekerja / kuliah.

BellaMove Gym juga dikendalikan oleh beberapa orang pekerja tempatan dan menawarkan beberapa pakej bagi mereka yang berminat untuk menjadi ahli.

Selain itu, gim berkenaan juga menyediakan beberapa kiub dan ruang peti sejuk untuk disewakan untuk menjual barang-barang berkaitan dengan kesihatan, peralatan sukan, minuman kesihatan seperti jus buah dan sebagainya.

Bagi yang berminat boleh mengikuti akaun Facebook BellaMove Fitness Studio & Gym dan Instagram @bellamove.kb bagi mengetahui perkembangan lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA