‘BELLE’ bangunkan bakat belia

‘BELLE’ bangunkan bakat belia

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Lebih 40 orang belia tempatan bakal diketengahkan dalam produksi muzikal besar-besaran kali ketiga anjuran Relentless Entertaiment Brunei yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 April depan di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Sidang media mengenai produksi bertajuk ‘BELLE’ itu telah diadakan di Kompleks Membeli-belah Mabohai, hari ini, yang dikendalikan oleh Pengasas Relentless Entertaiment Brunei, Amy Cheong Sui Ying dan Mardi Hedus.

Menurut mereka, produksi muzikal amal ini juga meraikan sambutan berganda iaitu ulang tahun syarikat yang ke-9 dan bulan kesedaran Autisme Sedunia yang jatuh pada setiap bulan April.

Persembahan yang telah diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu bertujuan untuk mempamerkan bakat-bakat muda yang bercita-cita tinggi dalam bidang lakonan, nyanyian dan tarian, pada masa yang sama memberi pengalaman kerja kepada semua 50 krew di belakang tabir pada persembahan muzik tersebut.

Seperti persembahan mereka sebelum ini, ‘BELLE’ juga merupakan acara amal di mana sebahagian hasil jualan akan didermakan kepada SMARTER Brunei, malah SMARTER juga akan mempunyai pameran mengenai bagaimana pusat itu membantu dan menyumbang kepada masyarakat, di ruang legar JIS itu nanti.

Amy Cheong dan Mardi Hedus bergambar ramai bersama barisan pelakon dan krew produksi ‘BELLE’ semasa sidang media di Kompleks Membeli-belah Mabohai, kelmarin.
Amy Cheong dan Mardi Hedus bergambar ramai bersama barisan pelakon dan krew produksi ‘BELLE’ semasa sidang media di Kompleks Membeli-belah Mabohai, kelmarin.

Misi Relentless Entertainment adalah menyediakan pengalaman pendidikan yang unik melalui teater muzik untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mengembangkan minda dalam persekitaran kreatif.

Matlamat mereka pula adalah untuk menggunakan seni teater muzikal sebagai jantera membangunkan individu sihat dan yakin serta serba boleh yang mempunyai rasa nilai dan kekitaan di dunia.

Pada 1 dan 2 April persembahan akan bermula pada jam 7:45 malam, manakala itu, pada 3 April ia akan bermula jam 1:30 petang.

Tiket-tiket boleh didapati di Kedai Patisserie Cake (Mata-Mata), Restoran Misato Jepun (Kiulap & Mabohai), KFC (The Mall), The Escape Experience (Setia Kengangan II, Kiulap) dan Relentless Studios.

Muzikal ‘BELLE’ juga disokong oleh Pelancongan Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kompleks Membeli-belah Mabohai.

Penaja-penaja bagi acara itu nanti ialah Bank Baiduri, Pizza Hut Brunei, KFC Brunei, Patisserie Cake Shop, Dragons dan Pixie Dust, Neo Classic Music School dan Kristal FM.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah mengikuti mereka di media sosial Instagram @relentlessbrunei.

ARTIKEL YANG SAMA