Bellerin rehat empat minggu

Bellerin rehat empat minggu

LONDON, 18 Nov – Arsenal bakal kehilangan khidmat pertahanan kanan Sepanyol, Hector Bellerin (gambar), selama sebulan susulan kecederaan buku lali, umum pengurus Arsene Wenger, semalam.

Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 21 tahun itu, mengutip kecederaan terbabit ketika Arsenal diikat 1-1 oleh Tottenham Hotspur.

“Hector tersisih empat minggu. Dia cedera 10 saat sebelum berakhir aksi menentang Tottenham selepas diterjah oleh Danny Rose,” kata Wenger.

Rakan senegara Bellerin, Santi Cazorla pula terus berehat kerana masih belum pulih daripada masalah achilles, yang memaksa perancang tengah itu diketepikan sejak kemenangan 6-0 ke atas Ludogorets Razgrad, bulan lalu.

Wenger berhasrat untuk mengetahui kecergasan Alexis Sanchez pada saat akhir hari ini yang belum melaporkan diri selepas tugasan antarabangsa bersama Chile selasa lalu.

Sanchez menjaringkan dua gol untuk Chile dalam kemenangan 3-1 kelayakan Piala Dunia ke atas Uruguay walaupun Wenger memberi amaran terlebih dahulu bahawa jika beliau turun dengan masalah hamstring sebelum ini, ia akan menjadi ‘misi bunuh diri’.

“Saya belum banyak mendengar kerana kami meragui kecergasannya 24 jam sebelum aksi menentang Uruguay,” kata Wenger. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA