Belum ada perancangan terhadap nelayan tradisional

Belum ada perancangan terhadap nelayan tradisional

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

 

pg01_160315_MMN_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) belum ada perancangan bagi menyalurkan bantuan-bantuan kepada nelayan tradisional dan juga termasuk membimbing mereka menubuhkan koperasi nelayan dengan bantuan modal permulaan, pengurusan koperasi dan pemantauan sehingga berjaya, namun akan diteliti dengan cara yang terbaik untuk mengatasinya.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong ada cara lain bagi membantu mereka seperti dengan menggalakkan pelabur asing untuk mengusahakan perniagaan berskala besar.

“Misalnya di Daerah Tutong, seorang pengusaha dari Taiwan mengusahakan ladang ternakan udang secara besar-besaran dan masa ini telah ditawarkan untuk mengusahakan beberapa ratus hektar lagi dalam pengusahaan udang.

“Beliau ada juga menawarkan peluang kepada nelayan-nelayan ataupun pengusaha-pengusaha di dalam negara, di Daerah Tutong terutama sekali untuk ikut serta mengusahakan ladang beliau mengikut standard beliau sendiri. Ertinya, beliau menyediakan beberapa kolam untuk peladang kita jika berkehendak, dan dia akan membeli hasil-hasil daripada peserta berkenaan.”

Yang Berhormat Dato Haji Ali menekankan perkara ini ketika menjawab persoalan yang diutarakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, pada sesi pagi hari ketujuh sesi Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang, hari ini.

Yang Berhormat Haji Ramli turut menyentuh persoalan mengenai bagaimana cara mendapatkan sumber daging sedangkan bekalan daging Brunei masih diimport dari luar. Dan jika diproses, tentulah harga produk yang diproses lebih mahal dan sukar untuk menembusi pasaran luar dan dalam negara.

“Memang dimaklumi sumber daging negara adalah terhad. Jadi bagaimana cara kita mengembangkan industri pemprosesan daging ini bukan dengan bergantung kepada pengeluaran daging dari dalam negara, tapi kita boleh juga mengimport daging dari luar negara dan akan memprosesnya kepada makanan lain dan untuk dieksport ke tempat-tempat lain,” soal Yang Berhormat lagi.

Menjawab persoalan itu, Yang Berhormat Dato Haji Ali berkata, perkara tersebut sebenarnya kaedah lanjutan yang beliau tidak nyatakan dalam mukadimahnya.

“Tapi memang cara kita untuk berkembang ataupun tumbuh tidak boleh bergantung kepada hasil dalam negara sahaja.”

Menurutnya, kita juga dapat mengimport bahan-bahan mentah dari negara-negara lain, misalnya ikan dan pertanian dari Filipina, daging dari negara jiran ataupun lebih jauh dari Australia dan tempat-tempat lain, kemudian diproses, ditambah nilai dan dijual dalam negara dan juga dieksport.

Perkara ini, katanya, sering digunakan oleh negara-negara kecil seperti Singapura dan Hong Kong.

Menyentuh mengenai cadangan pembangunan tempat-tempat pelancongan di Daerah Tutong yang kini menjadi destinasi pelancongan, Yang Berhormat Dato Haji Ali berkata, memandangkan kapasiti kementerian dan kapasiti daripada segi fiskal terhad, perkara ini akan ditawarkan kepada pihak swasta melalui PPP untuk menilai sama ada Sungai Basong boleh diuruskan oleh pihak swasta sebagai destinasi pelancongan dan menarik ramai orang ke sana dengan menawarkan berbagai-bagai aktiviti.

Pada masa yang sama akan menawarkan beberapa kawasan di sana untuk disewakan bagi tujuan komersial.

“Jika pun tidak dapat diusahakan secara persendirian, mungkin akan digabung dengan tempat-tempat lain. Misalnya kombinasi Sungai Basong, Pantai Seri Kenangan dan Bukit Ambok, dan juga Kampung Petani Daerah Tutong dan juga kawasan pasar tamu.”

Menurut beliau, kesemua ini jika digabung dan ditawarkan kepada pelabur, mungkin akan menarik perhatian mereka untuk mengurus, mengendalikan dan selanjutnya mengekalkannya (maintain).

“Bagaimanapun, seperti yang telah saya nyatakan tadi, ini melibatkan berbagai agensi yang mempunyai ataupun sebagai ‘owner’ tempat-tempat ini. Jadi perundingan akan dibuat dengan kementerian untuk sama-sama melaksanakannya untuk menguntungkan semua pihak,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA