Belum ada tangkapan berhubung kes bunuh Bill Kayong

Belum ada tangkapan berhubung kes bunuh Bill Kayong

KOTA SAMARAHAN, 29 Jun (Bernama) – Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor hari ini berkata belum ada sebarang tangkapan berhubung kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong.

Katanya, siasatan masih diteruskan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

“Kita bekerja siang dan malam untuk menyiasat dan menyelesaikan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 9/2016 sempena sambutan Aidilfitri di Summer Shopping Mall di sini hari ini.

Bill, 43 yang merupakan calon PKR di kerusi Dewan Undangan Negeri Bekenu pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lepas, ditembak mati di persimpangan lampu isyarat Kuala Baram, Miri pada kira-kira jam 9:20 pagi 21 Jun lepas.

Mengenai Op Selamat yang bertema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, Mazlan berkata penggunaan perangkap had laju akan dikuatkuasa semula sepanjang operasi kali ini dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang semakin meningkat di negeri ini.

Katanya, pemandu yang didapati memandu melebihi had laju yang dibenarkan akan dikeluarkan saman serta-merta.