Belum dapat terima kenyataan

Belum dapat terima kenyataan

BUTTERWORTH, 20 Ogos – Mangsa letupan bom di Bangkok, Neoh Yee Ling, 33, yang kehilangan suami, Lee Tze Siang dan anak perempuannya, Lee Jing Xuan dalam kejadian itu masih trauma dan belum dapat menerima kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Adik Tze Siang, Lee Tze Tung, 31, berkata kakak iparnya yang dijangka melahirkan anak ketiga pada November ini, mengalami kecederaan di telinga dan menghadapi masalah pendengaran.

“Dia masih bersedih dan terkejut kerana kehilangan empat anggota keluarganya termasuk ibu (Lim Siew Gaik, 49) dan adik lelakinya (Neoh Jai Jun,20) serentak dalam kejadian itu.

“Saya harap media dapat memberi ruang kepada kakak ipar saya, lagipun kami sekarang agak sibuk membuat persiapan untuk upacara pengebumian abang dan anak saudara saya,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, di sini hari ini.

Mah yang juga Presiden Gerakan hadir di rumah Yee Ling di Taman Cengal, di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada Tze Siang, 35, dan anak perempuannya Jing Xuan yang berusia empat tahun.

Seorang wanita memberikan penghormatan kepada warga Malaysia yang terkorban dalam letupan di Bangkok. – Bernama
Seorang wanita memberikan penghormatan kepada warga Malaysia yang terkorban dalam letupan di Bangkok. – Bernama

Tze Tung berkata Yee Ling akan mendapatkan rawatan kecederaan di telinganya di hospital di negeri ini selepas selesai upacara pengebumian Tze Siang dan Jing Xuan di tanah perkuburan Cina Sungai Lembu, Bukit Mertajam dekat sini esok.

Katanya semasa letupan itu, beliau berada di Hatyai, Thailand kerana bekerja di sana dan mengetahui mengenai insiden berkenaan melalui anggota keluarga di Butterworth.

“Selepas kejadian itu, kakak ipar (Yee Ling) cuba mencari suaminya tetapi gagal dan dia terus menghubungi keluarga di Butterworth sebelum mereka memaklumkan kepada saya.

“Menurut kakak ipar, dia dan anggota keluarga yang lain sedang bersembahyang di kuil berkenaan sebelum berlaku letupan kuat dan kejadian menjadi kelam kabut, Yee Ling cuba mencari suami dan anaknya bagaimanapun gagal,” katanya.

Beliau berkata Yee Ling dibawa ke hospital menggunakan ambulans dan hanya menemui ayahnya (Neoh Hock Guan) semasa menerima rawatan serta cuba mencari anggota keluarganya yang lain sebelum dimaklumkan mereka terkorban.

Tze Tung yang merupakan ahli perniagaan berkata sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, beliau terus mengambil penerbangan ke Bangkok dan ke hospital untuk melihat keadaan abang, kakak ipar dan anak saudaranya.

Katanya beliau juga membuat pengecaman mayat terhadap Tze Siang dan Jing Xuan di hospital kerana kakak iparnya dalam keadaan sedih serta bingung ketika itu.

“Saya balik dari Bangkok bersama Yee Ling dan mengiringi empat jasad menerusi penerbangan dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang semalam,” katanya.

Beliau berkata seorang lagi anak pasangan itu Lee Jian Hen, 6, masih dalam keadaan kebingungan dan terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku.

“Dia mungkin masih belum mengerti dan sentiasa berada di samping ibunya. Setakat ini Jian Hen masih belum melihat jasad ayah dan adik perempuannya,” katanya.

Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

Mereka antara 20 orang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas. – Bernama