Belum dapat zuriat, potong tangan isteri

Belum dapat zuriat, potong tangan isteri

MACHAKOS COUNTY, Kenya, 2 Ogos – Seorang wanita dipotong kedua-dua tangan oleh suaminya yang marah kerana belum mendapat zuriat selepas tujuh tahun berkahwin, lapor akhbar tempatan di sini, hari ini.

Jackline Mwende, 28, dari Kathama Village, Masii putus pergelangan tangan dan cedera pada kepala dan leher selepas diserang suaminya, Stephen, seorang tukang jahit pada Ahad lalu.

Pasangan itu dilaporkan dilanda pelbagai masalah dan Mwende mahu meninggalkan suaminya, tetapi dinasihat tidak berbuat demikian oleh paderi kampung itu.

Mwende yang kini tinggal di rumah bapanya selepas keluar hospital pada Jumaat lalu, memberitahu sebelum kejadian itu, mereka sudah tinggal berasingan selama tiga bulan.

“Saya tidak faham kenapa dia menyalahkan saya kerana doktor mengesahkan dia yang bermasalah, yang boleh dirawat.

“Kami tinggal berasingan sejak tiga bulan lalu dan pada pagi Ahad lalu dia datang ke rumah dan menyerang dengan parang sambil berkata ‘hari ini hari terakhir kamu,” kata Mwende. – Agensi