Belum masanya luaskan perintah berkurung

Belum masanya luaskan perintah berkurung

TAWAU, 18 Mei – Belum ada keperluan untuk memperluaskan arahan perintah berkurung sehingga ke kawasan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata perintah berkurung sedia ada masih relevan dan tidak perlu dikaji semula memandangkan keadaan di Esszone pada masa kini masih terkawal dan tidak kritikal.

“Keadaan sekarang belum lagi di tahap kritikal…modus operandi kejadian penculikan di sebuah restoran di Sandakan baru-baru ini menyasarkan seseorang. Mereka (penculik) mahu orang tertentu sahaja. Jadi ini menunjukkan insiden itu sudah dirancang dari awal dengan adanya penglibatan pemberi maklumat.

“Oleh itu, setakat ini tiada keperluan untuk memperluas arahan perintah berkurung itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Pencegahan Jenayah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada arahan perintah berkurung sedia ada perlu dikaji dan diperluas berikutan kes penculikan di Restoran Ocean King, Sandakan pada Khamis lepas.

Dalam kejadian itu, empat lelaki bersenjata menyerbu restoran berkenaan dan menculik Thien Nyuk Fun, 50, iaitu kakak ipar pengurus restoran itu dan Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrik diKemboja.

Perintah berkurung yang dikuatkuasakan di enam daerah di Esszone itu, melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan, bermula 7 malam hingga 5 pagi. Semalam, arahan perintah berkurung itu dilanjutkan bermula hari ini sehingga2 Jun depan.

Sementara itu, Jalaluddin sekali lagi meminta orang ramai dan pemimpin masyarakat di kawasan Esszone terus memberi kerjasama kepada polis.

“Kita mahu semua masyarakat termasuk pemimpin bekerjasama menyalurkan maklumat kepada polis. Jangan sesekali melindungi atau bersekongkol dengan penjenayah,” katanya. – Bernama