Belum sempat baiki dah roboh

Belum sempat baiki dah roboh

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Perancangan Haji Ripin bin Haji Matassan untuk membaiki rumah tidak kesampaian apabila rumahnya di Kampung Sungai Matan, Jalan Kota Batu, roboh dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Beliau yang sedang bekerja ketika kejadian, melahirkan perasaan terkejutnya apabila menerima panggilan daripada isterinya yang mengatakan rumah mereka telah roboh dan hampir tenggelam.

“Selepas menerima berita mengenai kejadian, saya terus bergegas balik ke rumah, kerana khuatir akan keselamatan ahli keluarga yang berada di dalam rumah. Alhamdulillah kesemua ahli keluarga saya dalam keadaan selamat,” katanya.

Sebahagian harta benda di dalam rumah ada yang rosak dan sebahagiannya lagi masih dapat diselamatkan dan dibawa naik ke darat.

Menurutnya, sebelum ini, beliau sedang merancang untuk mengambil cuti agar dapat memperbaiki mana-mana yang bahagian rumah yang perlu diperbaiki, namun perancangannya itu tidak kesampaian.

Rumah kepunyaan Haji Ripin yang roboh dan separa tenggelam di Kampung Sungai Matan.
Rumah kepunyaan Haji Ripin yang roboh dan separa tenggelam di Kampung Sungai Matan.

Manakala itu, Ketua Kampung Sungai Matan, Pengiran Haji Abdul Rahman bin Pengiran Haji Zainal pula berkata, rumah berkenaan memang sudah perlu diperbaiki sebelum ini, namun memandangkan kewangan dan waktu pemilik sangat terhad, proses pembaikan rumah terpaksa ditunda.

Rumah berkenaan juga merupakan sebuah rumah inap desa, antara projek Majlis Perundingan Mukim Kampung Sungai Matan yang terletak di hadapan bahagian rumah.

Memandangkan beberapa bahagian rumah perlu diperbaiki, projek inap desa terpaksa ditutup buat sementara waktu, tambah beliau lagi.

Pengiran Haji Abdul Rahman juga berkata, ketika kejadian, Haji Ripin sedang bekerja dan hanya anak beliau dan ahli keluarga berada di dalam rumah.

“Tiada sebarang korban jiwa semasa kejadian berkenaan, dan pihak-pihak tertentu dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara, JAPEM dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga berada di tempat kejadian,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA