Belum terima laporan penculikan 4 rakyat M’sia

Belum terima laporan penculikan 4 rakyat M’sia

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) – Polis Sabah belum mendapat kesahihan laporan kononnya empat warga Malaysia menjadi mangsa penculikan terbaru oleh kumpulan pengganas di selatan Filipina, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata pihak berkuasa di negeri ini belum menerima laporan berhubung dakwaan penculikan itu seperti dilaporkan oleh beberapa media Filipina.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang menunggu kesahihan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung kejadian itu seperti dilaporkan oleh media negara itu.

Setakat ini, polis negeri tidak menerima sebarang laporan mengenai ada kes penculikan oleh kumpulan pengganas di kawasan perairan Sabah, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan lembu dan kuih raya sempena Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.

Sebuah laporan berita Filipina memetik Ketua Polis Tawi-Tawi, S/Supt Joselito Salido sebagai berkata sekumpulan suspek tidak dikenali didakwa membawa tebusan rakyat Malaysia itu ke pantai Sitankai, Tawi-Tawi sebelum memindahkan mereka ke Sulu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh menyampaikan sumbangan tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis yang bertugas pada musim perayaan.

Beliau turut mencadangkan agar sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) diwujudkan di Putatan memandangkan kawasan itu sudah dinaik taraf sebagai sebuah daerah.