Benatia idam lebih banyak gelaran

Benatia idam lebih banyak gelaran

ROM, 17 Julai – Pemain terbaru Juventus, Medhi Benatia (gambar) menyasarkan lebih banyak kejayaan bersama juara Serie A Itali itu selepas tiba di Turin menerusi pinjaman dari Bayern Munich.

Pertahanan kelahiran Maghribi, Benatia, 29 melengkapkan perpindahannya ke gergasi Itali itu, Jumaat lalu dengan Juventus turut diberi peluang untuk mengikatnya secara sepenuh masa.

“Sasaran pada musim ini adalah bukan saja untuk mengekalkan kejuaraan Scudetto (Serie A) namun turut meningkatkan tahap kompetitif kami di pentas Eropah,” kata Benatia ketika sidang media, semalam.

“Tidak dapat dinafikan yang objektif utama kami adalah untuk mengekalkan posisi kami sebagai antara kelab elit di benua ini.”

Juventus menyamai rekod dengan memenangi kejuaraan Serie A kelima berturut-turut musim lalu, namun kelab diberi jolokan Old Lady itu tidak pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada 1996.

pg20_160718_c

Juventus mara ke final pada edisi 2015, namun tewas 3-1 kepada Barcelona dan pada musim lalu, mereka tewas kepada Bayern di peringkat 16 terakhir.

Benatia sebelum ini pernah beraksi di Itali dan hanya menghabiskan masa selama dua musim di Munich de-ngan Bayern pada musim depan sudah mendapatkan seorang lagi pemain pertahanan, Mats Hummels dari Borussia Dortmund.

Selepas menghabiskan tiga tahun bersama Udinese, Benatia menyertai AS Roma pada musim 2013-14 sebelum meninggalkan kelab itu untuk berhijrah ke Jerman.

“Bayern kelab yang menakjubkan namun saya mengharungi musim yang sukar dan berdepan begitu banyak kecederaan,” kata Benatia.

“Saya mahu kembali ke Itali kerana keluarga saya, Serie A dan juga cara hidup di sini. Saya lebih merasai seperti berada di rumah di Itali dan menyertai Juventus adalah pilihan yang logik buat saya.” – AFP