Bencic buat kejutan besar

Bencic buat kejutan besar

TORONTO, 16 Ogos (AFP) – Pemain remaja Switzerland, Belinda Bencic melakukan kejutan besar, apabila dari bangkit dari ketinggalan untuk menundukkan pemain nombor satu dunia, Serena Williams, 3-6, 7-5, 6-4 di separuh akhir Piala Rogers WTA di sini, semalam.

Williams, pemenang 21 gelaran grand slam, tewas buat kali kedua pada tahun ini kepada pemain berusia 18 tahun itu, tatkala pemain paling muda dan tua bertarung dalam perlawanan penuh sengit itu.

Bencic adalah pemain paling muda menewaskan Williams, 33, sejak dia menerima nasib sama kepada Maria Sharapova pada saingan Wimbledon tahun 2014, tatkala lawannya itu hanya berusia 17 tahun.

Bencic memenangi 20 daripada 24 aksinya termasuk menewaskan dua pemain ranking 10 dunia, (Caroline Wozniacki dan Ana Ivanovic) untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan.

Pada saingan final nanti, dia bakal berentap dengan Simona Halep yang sebelum itu mengenepikan cabaran pemain Itali, Sara Errani dengan keputusan 6-4, 6-4.

Belinda Bencic meraikan kutipan mata semasa menentang Serena Williams dalam kejohanan Piala Roger WTA semalam. – AFP
Belinda Bencic meraikan kutipan mata semasa menentang Serena Williams dalam kejohanan Piala Roger WTA semalam. – AFP

Dalam persaingan lelaki, pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan bintang Britain, Andy Murray akan berentap di final Piala Rogers ATP, di sini, selepas menewaskan lawan-lawan masing pada saingan separuh akhir pada hari ini (waktu Kanada).

Djokovic yang terganggu dengan bau asap marijuana sepanjang saingan separuh akhir itu, mengenepikan cabaran wakil Perancis, Jeremy Chardy.

Ketika dalam saingan yang dimenangi dengan keputusan 6-4, 6-4 itu, Djokovic mengadu kepada pengadil mengenai bau asap dadah berkenaan.

Sementara itu, pilihan kedua kejohanan, Murray turut melangkah ke final selepas menamatkan cabaran bintang Jepun, Kei Nishikori.

Murray yang bakal menduduki ranking kedua dunia minggu depan, menang 6-3, 6-0 ke atas pemain pilihan keempat kejohanan itu.

ARTIKEL YANG SAMA