Bendera Besar diturunkan

Bendera Besar diturunkan

Oleh Sim Y. H., Hajah Saemah Kepli & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama kira-kira sebulan, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 dihadiri oleh Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof, yang juga ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-70, selaku tetamu kehormat

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Brunei dan Muara, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEDN serta pertubuhan beruniform dan swasta.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan seramai 70 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota Jabatan Penjara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Kemudian, Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Gambar oleh Sim Y.H.
Gambar oleh Sim Y.H.
Ketua perbarisan anggota Tentera Laut Diraja Brunei menyerahkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam kepada YAM Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad.
Ketua perbarisan anggota Tentera Laut Diraja Brunei menyerahkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam kepada YAM Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menyempurnakan upacara penurunan bendera besar negara.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam menyempurnakan upacara penurunan bendera besar negara.

Majlis diteruskan dengan upacara penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang kemudiannya diserahkan oleh ketua perbarisan anggota TLDB kepada YAM Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad. Bacaan Doa Selamat bagi penutup upacara berkenaan telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

Manakala itu, majlis seumpamanya juga telah diadakan di Daerah Belait yang berlangsung di kawasan Taman Persiaran Cendera Kenangan dan Daerah Temburong, di kawasan lapang Dermaga, Pekan Bangar.

Di Daerah Belait, hadir bagi menyaksikan upacara penurunan bendera tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin dan Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 bagi peringkat Daerah Belait, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim, ketua kampung dan ketua-ketua rumah panjang, wakil-wakil daripada pihak swasta serta para jemputan.

Wakil Polis Diraja Brunei menyerahkan Bendera Besar kepada Haji Haris pada Majlis Penurunan Bendera Besar Daerah Belait kelmarin.
Wakil Polis Diraja Brunei menyerahkan Bendera Besar kepada Haji Haris pada Majlis Penurunan Bendera Besar Daerah Belait kelmarin.
Awang Amir Hairil menerima Bendera Besar daripada wakil Polis Diraja Brunei semasa Majlis Penurunan Bendera Besar Daerah Temburong kelmarin. – Gambar Norhamizan Haji Mosbi
Awang Amir Hairil menerima Bendera Besar daripada wakil Polis Diraja Brunei semasa Majlis Penurunan Bendera Besar Daerah Temburong kelmarin. – Gambar Norhamizan Haji Mosbi

Sementara itu, hadir selaku tetamu kehormat pada upacara di Daerah Temburong ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Peringkat Daerah Temburong, ketua-ketua cawangan serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.

Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera yang bermula dari 1 Julai lalu bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70.

Dengan penurunan bendera besar itu, orang ramai adalah dikehendaki serta memastikan menurunkan dengan sempurnanya bendera masing-masing termasuk di rumah-rumah kediaman, bangunan kerajaan dan swasta serta di premis-premis perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA