Bendera Olimpik tiba di Tokyo

Bendera Olimpik tiba di Tokyo

TOKYO, 24 Ogos – Bendera Sukan Olimpik selamat tiba di Tokyo hari ini sebagai tanda persiapan Jepun sebagai tuan rumah untuk penganjuran temasya yang akan datang pada tahun 2020.

Selepas tiba menerusi pesawat dari Brazil, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike menyambut ketibaan bendera berkenaan menerusi satu majlis di lapangan terbang Haneda.

“Saya dapat rasakan satu tanggungjawab yang besar,” kata Koike kepada hadirin mengenai Sukan Olimpik yang akan datang ini.

Koike yang berpakaian kimono menerima bendera itu pada majlis penutup temasya Ahad lalu di Rio di mana ribuan penyokong dan atlet meraikan festival yang bertemakan kebudayaan Brazil, muzik dan pertunjukan bunga api.

Yuriko Koike mengibarkan bendera Olimpik ketika tiba di lapangan terbang antarabangsa Haneda, Jepun, kelmarin. – AP
Yuriko Koike mengibarkan bendera Olimpik ketika tiba di lapangan terbang antarabangsa Haneda, Jepun, kelmarin. – AP

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membuat gimik dengan menggunakan karakter permainan video Nintendo, Super Mario sebagai tanda kesediaan mereka menganjurkan temasya pada 2020.

Abe muncul dari sebuah paip selepas satu video menayangkan Mario menggerudi perut bumi dari Tokyo untuk tiba di Brazil. “Saya mahu menunjukkan kuasa lembut Jepun kepada dunia dengan bantuan karakter Jepun. Saya tidak pasti bagaimana reaksi penonton. Namun saya menerima sorakan yang kuat. Saya menghargainya,” kata Abe. – AFP