Bendera Palestin berkibar di PBB buat julung kalinya

Bendera Palestin berkibar di PBB buat julung kalinya

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 1 Okt (Bernama) – Buat julung kalinya dalam sejarah, bendera Palestin berkibar di ibu pejabat PBB, di sini.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyempurnakan upacara menaikkan bendera itu pada Rabu (Khamis di Malaysia) dalam upacara penuh bersejarah yang disaksikan oleh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman turut hadir pada upacara itu yang berlangsung di Rose Garden, PBB.

Pihak Berkuasa Palestin memperoleh status pemerhati bukan anggota di PBB pada 2012 dan Perhimpunan Agung pada 10 Sept membenarkan Palestin mengibarkan bendera kebangsaannya di ibu pejabat dan pejabat-pejabat di PBB selepas mendapat 119-8 undi dengan 45 berkecuali.

Mahmoud dilaporkan menyifatkan upacara menaikkan bendera itu sebagai “saat harapan”.

Konflik Palestin-Israel telah berlarutan kira-kira enam dekad susulan pencerobohan dan kependudukan Israel di negara itu.

Lebih 70 resolusi telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dalam usaha menyelesaikan konflik itu sejak 1048 selepas badan dunia itu ditubuhkan pada 1945 tetapi masih tidak berjaya menamatkan konflik itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran dilaporkan berlaku hampir setiap hari antara umat Islam Palestin dan tentera Israel di Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmuqaddis.

ARTIKEL YANG SAMA