Bendung jenayah daripada bercambah

Bendung jenayah daripada bercambah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Masalah jenayah dalam kalangan masyarakat yang juga melibatkan belia dan remaja di negara ini semakin membimbangkan.

Tambahan pula kes-kes jenayah itu kian meningkat di negara kita banyak melibatkan belia dan remaja yang berumur 35 tahun ke bawah, selain terdapat kes-kes jenayah yang dilakukan oleh remaja di bawah umur 17 tahun.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, tanggungjawab dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja dan belia adalah peranan semua pihak dan dalam hal ini institusi keluarga berkewajipan dalam memastikan pembentukan keperibadian insan.

Menurut Khatib, para ibu bapa juga perlu sedar bahawa mereka sedang menyediakan generasi baru manakala anak-anak yang dalam jagaan mereka kelak akan menjadi insan-insan yang mempunyai tanggungjawab kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan.

“Maka perilaku mereka akan mempunyai kesan baik atau buruk terhadap keluarga masyarakat serta negara pada masa hadapan. Seperti kata Imam Ghazali, mendidik anak-anak ibarat menanam sebiji benih, ia perlu dibaja dan disiram setiap hari dengan penuh kasih sayang agar biji tersebut akan membesar dan membuahkan hasil.”

Di samping itu, jelas Khatib, peranan dan keprihatinan masyarakat secara umum bagi membentuk pihak berwajib dalam memastikan jenayah itu dapat dibanteras hingga ke akar umbi.

“Janganlah kita hanya semata-mata melepaskan peranan itu kepada pihak polis dan jawatankuasa keselamatan kampung.

“Kita harus berganding bahu bagi sama-sama memastikan negara ini bebas daripada anasir-anasir jahat yang didatangi daripada kalangan warga kita sendiri mahu pun daripada pihak-pihak lain.

“Sesungguhnya kerjasama orang ramai dan pasukan polis adalah penting agar tugas-tugas pasukan polis kepada negara akan lebih berkesan.

“Maka bersempena Hari Polis ke-95 tahun pada 1 Januari 2016 ini, marilah kita berdoa agar pasukan polis akan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jaya, penuh dengan profesional dan berintegriti serta ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam usaha menanai amanah untuk keamanan Negara Brunei Darussalam.”

ARTIKEL YANG SAMA