Benfica kejutkan Atletico

Benfica kejutkan Atletico

MADRID, 1 Okt (AFP) – Benfica menyerahkan kekalahan pertama di laman sendiri kepada Atletico Madrid dalam persaingan Liga Juara–Juara sejak 2009 ketika mereka bangkit selepas ketinggalan untuk mengungguli Kumpulan C dengan kemenangan 2-1 semalam.

Bagaimanapun, kejayaan pasukan Portugal itu dibayangi sikap sebahagian peminat mereka yang melemparkan suar kepada penyokong Atletico selepas gol penyamaan dari Nicolas Gaitan di Vicente Calderon.

Angel Correa meletakkan jaringan pendahuluan pada pertengahan separuh masa pertama. Bagaimanapun, Atletico terpaksa menerima padah bagi beberapa peluang yang terlepas ketika Gaitan menyamakan kedudukan dan Benfica mengutip tiga mata penuh dengan menyudahkan serangan mengejut menerusi Goncalo Guedes selepas rehat.

Benfica sekarang mendahului Atletico dengan tiga mata, walaupun pasukan dari Sepanyol itu masih dua mata di depan pendatang baru Liga Juara–Juara, Astana dan Galatasaray, yang seri 2-2 di Kazakhstan awal semalam.

Penjaga gol Atletico Madrid Jan Oblak (kiri) menyelamatkan percubaan pemain Benfica Gonzalo Guedes dalam aksi Kumpulan C di stadium Vicente Calderon semalam. – Reuters
Penjaga gol Atletico Madrid Jan Oblak (kiri) menyelamatkan percubaan pemain Benfica Gonzalo Guedes dalam aksi Kumpulan C di stadium Vicente Calderon semalam. – Reuters

“Suar adalah masalah sosial yang perlu diselesaikan oleh orang lain,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone. “Di atas padang Benfica beraksi dengan baik dan layak menerima kemenangan itu bagi keberkesanan mereka di depan gawang.

“Pasukan itu berusaha untuk mencipta peluang sepanjang perlawanan, tetapi bola sepak adalah mengenai peluang yang anda dapat, bukan berapa banyak anda menciptanya.”

Bos Benfica, Rui Vitoria memuji pertahanan pasukannya, tetapi menolak gambaran mereka sudah melangkah sebelah kaki ke pusingan 16 terakhir.

“Ia adalah kemenangan manis ke atas pasukan kuat yang sudah berada dalam Liga Juara–Juara sejak dua tahun lalu. Pasukan itu tahu bagaimana untuk keluar daripada masa sukar,” katanya.

“Ia bukanlah masa untuk terlalu yakin. Enam mata adalah permulaan yang bagus, tetapi belum ada yang dicapai lagi.”

Atletico mempamerkan persembahan menarik untuk 45 minit pertama, tetapi ketajaman mereka di depan gawang terjejas apabila gagal untuk menyudahkan perlawanan.