Benfica kejutkan Zenit

Benfica kejutkan Zenit

SAINT PETERSBURG, 10 Mac (AFP) – Nicolas Gaitan dan Talisca meledak lewat bagi membantu Benfica bangkit menewaskan Zenit Saint Petersburg 2-1 di sini, semalam, untuk sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 3-1.

Selepas ketinggalan 0-1 pada pusingan pertama bulan lalu, Zenit menyamakan kedudukan menerusi Hulk pada minit ke-69 dan baki perlawanan menjadi gamat apabila Gaitan meledak gol pada minit ke-85.

Pemain simpanan Talisca memuktamadkan kemenangan pada masa tambahan iaitu minit ke-96, seterusnya membenarkan pendahulu liga Portugis itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara untuk kali pertama sejak 2012.

“Dengan penuh rasa hormat kepada pihak lawan, saya sangat yakin yang kami akan mara ke suku akhir sebelum sepak mula,” kata jurulatih Benfica, Rui Vitoria.

“Kami bermain dengan baik. Kami menjaringkan dua gol dan saya percaya kami adalah pasukan yang lebih baik dan layak untuk menang.

Pemain Serbia Benfica, Ljubomir Fejsa menanduk bola ketika menentang Zenit pada pusingan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di stadium Petrovsky, St. Petersburg kelmarin. – Reuters
Pemain Serbia Benfica, Ljubomir Fejsa menanduk bola ketika menentang Zenit pada pusingan kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara di stadium Petrovsky, St. Petersburg kelmarin. – Reuters

“Pemain muda kami memberi sepenuh keringat mereka dan mempamerkan keinginan yang sangat hebat. Mereka membuktikan mampu bermain di peringkat tertinggi dan saya sangat berbangga dengan pemain saya.”

Benfica berkunjung ke Rusia dengan bekalan kelebihan jaringan, berterima kasih kepada jaringan lewat Jonas pada pertembungan pertama bulan lalu.

Zenit ternyata banyak mensia-siakan peluang pada babak kedua seterusnya meranapkan impian mereka untuk mara ke pusingan suku akhir untuk kali pertama.

“Semuanya tidak berlangsung seperti dirancang terutama pada saat-saat akhir, sama seperti perlawanan pertama sebelum ini,” kata jurulatih Zenit, Andre Villas-Boas.

“Hari ini, kami bermain dengan sangat baik dalam tempoh 40 minit babak kedua dan mencipta beberapa peluang berharga tetapi tuah kurang memihak kepada kami. Ia sangat mengecewakan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara-Juara dengan seperti ini.”

ARTIKEL YANG SAMA