Bengkel dekati media 27 Feb ini

Bengkel dekati media 27 Feb ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Bagi berkongsi ilmu pengetahuan mengenai kaedah amalan hubungan media yang efektif dan membangunkan hubungan kukuh dengan jurnalis, Alumni Brunei Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dengan kerjasama Kesatuan Graduan Universiti Brunei Darussalam (GOG-UBD) akan mengadakan Bengkel Pendekatan Media pada 27 Februari di Dewan Inspiring, Pusat Pelajar UBD.

Bengkel selama tiga jam itu dihasratkan dapat mempersiapkan golongan belia dengan kaedah dan amalan yang terbaik untuk mengamalkan hubungan media yang efektif serta menyampaikan acara, maklumat, kempen serta projek mereka kepada orang ramai dengan lebih berkesan.

Ia juga bermatlamat untuk memberikan maklumat mengenai media-media tempatan yang ada, membangunkan portfolio kelab atau persatuan mereka, cara untuk mengendalikan sidang media dan membuat siaran akhbar serta cara yang terbaik untuk menggunakan media secara efektif bagi menyampaikan mesej mereka kepada orang ramai.

Pihak penganjur berharap pada akhir bengkel itu nanti para peserta akan lebih yakin untuk memainkan peranan mereka sebagai ahli perhubungan media bagi persatuan atau kelab masing-masing.

Sehubungan itu, ahli-ahli persatuan bukan kerajaan dan kumpulan sukarelawan adalah dialu-alukan untuk menyertai bengkel berkenaan yang mana penyertaan bagi bengkel itu adalah terhad kepada 40 orang peserta sahaja.

Bagi ahli kesatuan GOG-UBD, yuran pendaftaran bagi menyertai bengkel itu adalah sebanyak $5, manakala bagi peserta bukan ahli, yuran pendaftaran adalah sebanyak $8.

Pendaftaran bagi menyertai bengkel itu dibuka sehingga 25 Februari, jam 5 petang dan mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi, Eksekutif GOG bagi Publisiti dan Maklumat, Nur Syifa ‘Aliyah melalui e-mel, ubd.guildalumni@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA