Bengkel Forum ‘Tuturan Pelajar’

Bengkel Forum ‘Tuturan Pelajar’

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli, semalam, telah mengadakan Bengkel Forum ‘Tuturan Pelajar’ bagi para peserta dan guru-guru pembimbing Pertandingan ‘Tuturan Pelajar’ Forum Bahasa Melayu Peringkat Pra-Universiti dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Tahun 2016.

Bengkel sehari berkenaan diadakan di Ruang Legar Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan.

Seramai 20 pelajar serta enam orang guru pembimbing dari lima buah institusi pendidikan iaitu Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal dan Pusat Tingkatan Enam Tutong, ikut serta dalam bengkel berkenaan yang disampaikan oleh Awang Sheikh Hilman bin Salim.

Gambar ramai Haji Azis bersama peserta dan guru-guru pembimbing Bengkel Forum ‘Tuturan Pelajar’.
Gambar ramai Haji Azis bersama peserta dan guru-guru pembimbing Bengkel Forum ‘Tuturan Pelajar’.
Haji Azis menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel tersebut.
Haji Azis menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta bengkel tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, antara tujuan bengkel adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan para pelajar dan guru-guru pembimbing dalam bidang keforuman serta diharap akan dapat memberi pendedahan dan gambaran sebenar kepada para peserta mengenai teknik penyampaian sebuah forum yang berkesan, penggunaan gagasan idea yang kreatif dan menarik serta beberapa tip kemahiran penyampaian forum yang berkesan.

Ketua Unit Akli, Dayang Hajidah binti Haji Abdul Wahab, dalam ucapannya berkata, bengkel juga bertujuan untuk mempelbagaikan teknik bimbingan dan latihan para guru pembimbing dalam usaha untuk meningkatkan mutu dan kualiti pengucapan awam para pelajar yang akan menyertai pertandingan Forum Tuturan Pelajar nanti.

Peringkat saringan pertandingan forum Tuturan Pelajar ini akan diadakan pada 6 dan 8 Ogos 2016.