Bengkel GOT UNISSA dapat sambutan

Bengkel GOT UNISSA dapat sambutan

PENINGKATAN jumlah pelajar pasca siswazah dalam bidang pengajian Islam di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) setiap tahun telah menunjukkan bahawa minat dan kecenderungan pelajar dalam bidang ini semakin memberangsangkan.

Oleh itu, bagi memastikan standard dan kualiti graduan yang bakal dilahirkan seiring dengan graduan antarabangsa, Pusat Pengajian Lepas Ijazah dengan kerjasama Unit Jaminan Kualiti UNISSA telah menganjurkan satu sesi bengkel ‘hands on’ yang diadakan di Dewan Auditorium, UNISSA baru-baru ini.

Bengkel tesebut disampaikan oleh seorang pakar Pendidikan Sains, Penulisan Tesis Pantas & Pengurusan Artikel yang didatangkan khas dari Negara Malaysia iaitu Dr Othman Talib, Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia.

Antara objektif bengkel ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan kemahiran penyelidikan dalam kalangan pelajar, memberi pendedahan kepada pelajar tentang reka bentuk penyelidikan semasa dan terkini.

Seterusnya adalah bagi mendapatkan maklum balas dan ulasan daripada panel pakar terhadap kajian yang dijalankan oleh pelajar serta membincangkan cadangan dan strategi penambahbaikan yang difikirkan perlu terhadap kajian.

Antara mereka yang hadir pada bengkel tersebut.
Antara mereka yang hadir pada bengkel tersebut.

Pada hari pertama bengkel, Dr Othman Talib menyampaikan module mengenai Pengurusan Artikel, Penulisan LR/ Kritis dan ZDOT (Zero Draft of Thesis). Manakala pada hari kedua pula, beliau menyampaikan module mengenai Pengurusan Atlas TI.

Bengkel ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, di mana seramai 89 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik tempatan UNISSA, pelajar pasca siswazah UNISSA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan juga beberapa orang pegawai kerajaan.

Bengkel diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh Timbalan Rektor UNISSA, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Bengkel ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran tenaga akademik tempatan dan pelajar pasca siswazah UNISSA serta institusi tempatan dalam bidang penyelidikan. Bengkel ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar dan dalam masa yang sama memberi pendedahan tentang dunia penyelidikan sebenarnya.

ARTIKEL YANG SAMA