Bengkel Jurnalisme dapat sambutan

Bengkel Jurnalisme dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Mei – Lebih 40 orang telah berjaya menamatkan Bengkel Jurnalismen (Kewartawanan) anjuran Persatuan Belia Belait (PEMBELA) dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang berlangsung di Tingkat Satu Kafe KBSentral, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel tiga hari itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.

Di akhir bengkel petang tadi, wartawan Media Permata telah diundang untuk menyampaikan taklimat bertajuk ’Inspirasi Dalam Penulisan’ sekali gus memberikan kefahaman secara teori dan praktikal kepada kalangan peserta, terutama sekali bagaimana untuk mendapatkan pengenalan cerita yang boleh menjadikan para pembaca berminat untuk mengetahui berita selanjutnya.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Persatuan PEMBELA, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun dalam ucapannya pada majlis penutup menyatakan, melihatkan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat terutama kalangan belia dan penuntut ke atas bengkel tersebut, persatuan mereka dengan sokongan serta kerjasama daripada pihak-pihak berkenaan, merancang untuk mengadakannya dalam masa akan datang.

Sejurus sebelum majlis penyampaian sijil, majlis turut mendengarkan ceramah aspirasi bertajuk ‘Jurnalisme Sebagai Kerjaya atau Minat’ yang disampaikan oleh konsultan undangan, Dr. Haji Shadoon bin Haji Lamzi.

Awang Mawardi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
Awang Mawardi menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

pg12_160523_a

Wartawan Media Permata Dayang Imelda Groves, semasa menyampaikan taklimatnya bertajuk ‘Inspirasi Dalam Penulisan’ di sesi akhir Bengkel Kewartawanan kelmarin.
Wartawan Media Permata Dayang Imelda Groves, semasa menyampaikan taklimatnya bertajuk ‘Inspirasi Dalam Penulisan’ di sesi akhir Bengkel Kewartawanan kelmarin.

Majlis penutup berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada peserta yang memenangi beberapa kategori melalui aktiviti sepajang kursus tersebut yang telah bermula Jumaat lalu.

Dayang Faridah binti Haji Ibrahim telah berjaya memenangi kategori peserta yang paling berprestij dan Dayang Thurusha Balamurali memenangi kategori artikel dengan promosi terbaik dan telah memberi tajuk ‘Surabashi’ untuk artikelnya, yang mengetengahkan kelazatan makanan hidangan Shushi Tei manakala itu, Rachel Tiara Anak Jamit turut memenangi penulisan bertajuk ‘Menyambut Tetamu dengan perkataan ‘Konichiwa’ oleh Restoran Shushi Tei di KBSentral’.

Dalam kategori perniagaan pula, Haji Abdul Arif Fadli bin Haji Bulat dan Dayangku Amal Bahjah binti Pengiran Haji Mohd Ali masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua bagi penulisan tentang Cube Enterprise di KBSentral. Chong Han Wen pula memenangi tempat pertama bagi ulasannya mengenai tinjauan ke Premis Beesket yang diikuti oleh Cheu Jun Xian di tempat kedua dengan artikel bertajuk ‘A Slush of Healthiers’.

Majlis kemudian dikuti dengan tetamu kehormat melawat petak jualan buku yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bengkel ini merupakan kali pertama dianjurkan oleh Persatuan PEMBELA dengan kerjasama KBSentral dan sokongan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri serta kerjasama media-media tempatan termasuk Brunei Press. Beberapa peserta yang ditemui, kalangan pelajar dan belia-belia yang sedang mencari pekerjaan dan mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan, telah melahirkan harapan supaya usaha memperdalamkan lagi pengetahuan dalam bidang penulisan khususnya kewartawanan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Dayang Faridah memberitahu Media Permata, beliau yang berasal dari Bandar Seri Begawan sanggup berulang-alik sepanjang tiga hari bengkel itu, demi mendalami pengetahuan dan kemahiran dalam bidang jurnalisme, kerana selama ini sebagai seorang penulis sambilan, beliau masih merasa mempunyai banyak kekurangan terutama dari segi memulakan cerita.

“Saya berharap, di masa-masa akan datang, bengkel seperti ini akan diteruskan, dan ianya amat baik untuk mencambah minda dan memberikan pencerahan kepada kami yang berminat dalam bidang penulisan, terutama penulisan berita dan cerita santai lainnya,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA