Bengkel Kedua Pembangunan Sumber Manusia tutup tirai

Bengkel Kedua Pembangunan Sumber Manusia tutup tirai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Para peserta Bengkel Kedua Pembangunan Sumber Manusia diharap dapat berkongsi dan bertukar-tukar idea serta maklumat mengenai pelbagai langkah dan kaedah bagi mengendalikan perkembangan kapasiti manusia serta ke arah rangkaian kerja yang berkualiti tinggi dengan para profesional dalam kalangan ahli-ahli parlimen ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).

Harapan itu dinyatakan oleh Timbalan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail ketika berucap dalam Penutup Bengkel Kedua Pembangunan Sumber Manusia anjuran bersama AIPA dan Deutsche Gesellschaft fur Internationale Zusammenarbeit (GIZ) yang berlangsung di Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat Negara, kelmarin.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Agung AIPA, Yang Berhormat Periowsamy Otharam.

Dayang Rose Aminah dan Yang Berhormat Periowsamy Otharam menghadiri penutup bengkel dua hari berkenaan.
Dayang Rose Aminah dan Yang Berhormat Periowsamy Otharam menghadiri penutup bengkel dua hari berkenaan.

Bengkel yang bermula pada 17 Mei dan berakhir pada 18 Mei, disertai oleh seramai 18 orang pegawai-pegawai parlimen dari negara-negara ahli AIPA iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat Lao, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Bengkel dua hari itu bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran pegawai di parlimen-parlimen AIPA dengan membincangkan mengenai pembangunan kapasiti manusia dan menganalisis rangka kerja yang telah dibincangkan pada bengkel pertama yang telah diadakan di Kemboja pada 2015.

ARTIKEL YANG SAMA