Bengkel kemahiran untuk ibu bapa

Bengkel kemahiran untuk ibu bapa

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Bahagian Kaunseling dan Kerjaya Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, hari ini, telah menjayakan Program Pendidikan dan Bengkel Kemahiran Keibubapaan bagi Ibu Bapa Pelajar-Pelajar Sekolah-Sekolah Kerajaan Seluruh Negara tahun 2015 yang berlangsung di Sekolah Menengah Katok.

Program ini melibatkan 10 buah sekolah rendah dan tiga sekolah menengah Kluster 4 serta sebuah sekolah lain.

Program secara berkelompok ini diadakan selama tiga hari dengan menampilkan beberapa penceramah antaranya Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Awang Ali Yusri bin Abdul Ghafor yang juga menyampaikan ucapan alu-aluan pada hari pertama, hari ini.

Pelbagai tajuk disediakan sepanjang bengkel ini yang berkisar mengenai kemahiran keibubapaan dan turut diselitkan dengan sesi soal jawab bersama guru-guru dan ibu bapa yang menghadiri program itu.

Menurut pihak penganjur, program ini adalah kesinambungan program yang sama tahun lalu dan seperti juga sebelumnya ia memberikan penekanan kepada kepentingan menangani isu dan masalah yang berkaitan dengan hal ehwal anak-anak di sekolah terutama sekali daripada aspek kehadiran.

Salah seorang penceramah menyampaikan taklimatnya.
Salah seorang penceramah menyampaikan taklimatnya.
Antara yang menghadiri bengkel berkenaan, kelmarin.
Antara yang menghadiri bengkel berkenaan, kelmarin.

Antara objektif program adalah untuk memberigakan Akta Pendidikan Wajib selain memberikan pendedahan mengenai tugas dan tanggungjawab ibu bapa kepada pendidikan anak-anak mereka.

Ia juga menjadi wadah mempertingkatkan kemahiran dan rangsangan supaya anak-anak cenderung untuk ke sekolah serta memberikan gambaran mengenai kesan jika anak-anak tidak hadir ke sekolah.

Dalam masa yang sama, program ini juga menjadi platform mengukuhkan kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah sebagai pemangkin dan penyokong kehadiran pelajar ke sekolah dan dihasratkan akan memberikan kefahaman kepada ibu bapa akan keperluannya.

Dua majlis penutup akan diadakan secara berasingan pada 6 Mei 2015 di Dewan Sekolah Rendah Rimba I dan pada 13 Mei 2015 di Dewan Sekolah Rendah Pusar Ulak di ibu kota.

Sekolah-sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah (SM) Berakas, SM Rimba, SM Rimba II, Sekolah Rendah (SR) Beribi Telanai, SR Dato Marsal, SR Mata-mata, SR Rimba I, SR Dato Ratna Haji Muhammad Jaafar, SR Anggerik Desa, SR Kianggeh, SR Rimba II, SR Amar Pahlawan dan SR PPSD Sahibul Bandar.

ARTIKEL YANG SAMA