Bengkel Kewartawanan 20 Mei ini

Bengkel Kewartawanan 20 Mei ini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Mei – Bengkel Kewartawanan, yang bertujuan untuk mengasah bakat penulisan sekaligus untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang penulisan, akan diadakan selama tiga hari bermula 20 Mei ini, di Kafe Sentral Hotel, di sini.

Bengkel tersebut dibukakan penyertaannya kepada penuntut sekolah menengah dan maktab di Daerah Belait, serta belia-belia yang sedang menunggu keputusan peperiksaan, mereka yang belum mempunyai pekerjaan atau yang sedang mencari pekerjaan dan individu yang berminat dalam bidang penulisan khususnya kewartawanan.

Ia merupakan Projek Kerjasama Persatuan Belia Belait ‘Pembela’ bersama Pusat Membeli-belah KBSentral yang turut disokong Jabatan Penerangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Belia dan Sukan, Syarikat Kumpulan Mashhor, Brunei Press Sdn Bhd dan media cetak lain.

Beberapa penceramah undangan yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan kewartawanan termasuk undang-undang akan terlibat sebagai ahli panel dan konsultan bagi menyampaikan modul perisian bengkel pada tarikh yang telah ditetapkan.

Antara tajuk yang akan disampaikan termasuklah ceramah aspirasi ‘Kewartawanan sebagai Kerjaya Pilihan’ oleh Konsultan undangan Dr. Awang Haji Shadoon bin Haji Lamzi, ‘Penulisan Kreatif dan Non Kreatif’ serta ‘Penerbitan Buku, Karya Penulisan, Majalah dan Jurnal’ daripada wakil DBP, dan lain-lain tajuk daripada wakil yang diundang seperti ‘Kemahiran Temu bual dan Penyelidikan’ serta ‘Kewartawanan Melalui Siber dan Sosial Media’.

Antara yang bakal menyertai Bengkel Kewartawanan di KBSentral nanti.
Antara yang bakal menyertai Bengkel Kewartawanan di KBSentral nanti.

Di samping penyampaian taklimat, bengkel turut diisikan dengan aktiviti praktikal yang melibatkan para pesertanya diberikan tugas khusus untuk keluar menerokai kedai-kedai, kemudahan, perkhidmatan dan produk yang terdapat di dalam Pusat Membeli-belah KBSentral untuk dijadikan bahan penulisan dengan menggunakan kaedah-kaedah yang telah dipelajari sepanjang menghadiri bengkel.

Bengkel tersebut juga bertujuan untuk memberikan kefahaman dalam bidang penulisan dan konsep penulisan dari sudut jurnalisme, selain berkongsi pengetahuan dalam menghasilkan karya penulisan yang dapat menarik perhatian masyarakat agar terus minat membaca dan sekaligus memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, ia juga untuk memberi peluang kepada pesertanya menggunakan kemahiran yang diperolehi bagi mendapatkan pekerjaan dalam bidang media massa sama ada sektor swasta atau awam dan menghasilkan karya yang berkualiti untuk dipasarkan seperti buku atau bahan bacaan awam.

Penyertaannya yang sudah ditutup kelmarin, setakat ini sudah mencecah lebih 30 orang, bagaimanapun pemohon yang terlewat mendaftar kemungkinan akan turut dipertimbangkan oleh pihak urus setia dengan syarat-syarat tertentu.

ARTIKEL YANG SAMA